mutakhir

12 spesies baru

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Kuching: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) melalui program ‘Research for Intensified Management of Bio-Rich Areas’ (RIMBA) menemui 12 spesies tumbuhan liar baru di dua kawasan hutan simpan di negeri ini.

Penemuan tumbuhan liar itu hasil kerjasama kumpulan saintis dari SFC dan Taman Botanikal Singapura pada Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC Wong Ting Chung berkata, tumbuhan liar membabitkan sembilan spesies begonia, masing-masing satu spesies orkid liar, halia dan marantaceae.

Menurutnya, orkid liar dan begonia tumbuhan terlindung di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

“Kami menemui sembilan spesies bunga begonia atau asam batu yang sesuai dengan iklim lembap sub tropika dan tropika. Ia juga daripada kumpulan ‘genus begonia’ yang merangkumi lebih 1,500 spesies dan kacukan pelbagai habitat serta rupa.

“Kumpulan saintis menemui sembilan spesies begonia dalam penyelidikan itu dengan lima daripadanya ditemui di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Lanjak-Entimau dan dua spesies di Taman Negara Batang Ai.

“Dua lagi spesies boleh ditemui di dua-dua kawasan hutan simpan yang terletak di daerah yang sama ini,” katanya pada Majlis ‘RIMBA RUMBLINGS’ di sini, semalaman.

Hadir sama Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan isteri, Puan Sri Jamilah Anu.

Mengenai spesies orkid liar, marantaceae dan halia, Wong berkata, ia ditemui di Pusat Hidupan Liar Lanjak-Entimau.

Sementara itu, SFC berbesar hati untuk menamakan spesies begonia yang ditemui di dua kawasan hutan simpan dengan ‘Begonia Jamilahanuiana’ sempena nama isteri Adenan.

Menurut Wong, spesies begonia ini boleh membesar dengan ketinggian kira-kira 60 sentimeter dan antara spesies yang menarik perhatian kerana mengekalkan bintik putih pada tumbuhan dewasa berbeza dengan spesies yang lain.

“Orkid, marantaceae dan begonia digunakan secara komersial sebagai pokok hiasan di taman serta rumah di kebanyakan negara.

“Namun, potensi marantaceae dan begonia sebagai pokok hiasan di negara ini masih belum diteroka sepenuhnya,” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2016 @ 8:59am
d