mutakhir

Pantau tapak pelupusan haram

Kuala Lumpur: Tidak sampai 10 peratus tapak pelupusan sanitari mesra alam yang selamat terdapat di negara ini yang mana memerlukan pemantauan ketat dilakukan sepanjang masa.

Pakar Pengurusan Sisa Pepejal Universiti Malaya (UM) Dr Sumiani Yusoff berkata, pemantauan dan penguatkuasaan perlu diadakan secara teratur bagi mengelakkan kewujudan tapak pelupusan sampah haram.

“Tindakan ini perlu bagi jangka masa panjang untuk mengelakkan impak negatif seperti pencemaran sumber air oleh leachate (resapan air tercemar) yang hanya akan dirasai penduduk sekitar untuk tempoh berpuluh-puluh tahun selepas itu.

“Begitu juga risiko penyakit dan bau. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kurang 10 peratus tapak pelupusan sanitari mesra alam yang selamat,” katanya.

Beliau berkata, tapak pelupusan sampah yang sanitari mempunyai pengurusan pencemaran, gas dan radiasi yang terancang.

“Sebab itu, masyarakat perlu mengubah sikap untuk mengelakkan pembuangan sampah dalam kuantiti banyak.

“Jumlah sampah seperti makanan dan organik yang dibuang setiap hari sangat membimbangkan.

“Jika tidak dikumpulkan dengan baik, ia akan terlerai dengan alam sekitar seterusnya melepaskan gas rumah hijau.

“Keadaan ini sebenarnya serius kerana risiko pembebasan gas metana secara pasif melalui proses pereputan sampah di tapak pelupusan dalam tempoh tertentu.

“Gas metana menyebabkan 25 kali risiko pemanasan global berbanding karbon dioksida (CO2),” katanya.

Tinjauan Harian Metro ke Tapak Pelupusan Sanitari Bukit Tagar mendapati tapak pelupusan itu antara lain, mempunyai tapak lapisan dasar daripada plastik berkualiti tinggi yang menghalang leachate daripada meresap ke sumber air bawah tanah.

Disiarkan pada: November 5, 2016 @ 10:03am
d