mutakhir

'Dahaga' minyak

Oleh Omar Osman

Sungai Petani: Lebih 2,000 orang terdiri daripada pekerja kilang dan masyarakat sekitar Sungai Petani sanggup berbaris panjang di Stesen Minyak Shell Tikam Batu, di sini, kerana tidak mahu melepaskan peluang mengisi minyak petrol RON95 secara percuma yang disumbangkan peniaga katering membabitkan kos hampir RM6,000, semalam.

Peniaga terbabit yang juga bekas guru dan pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda, Abdul Ghani Haron, 60, aktif dalam kegiatan kebajikan selepas bersara beberapa tahun lalu dan dia terpanggil menaja minyak petrol secara percuma sebagai amal jariah bagi meringankan beban penunggang motosikal.

Malah, kebanyakan mereka yang mengetahui pemberian minyak petrol secara percuma melalui laman sosial Facebook (FB) itu sanggup datang seawal jam 6 pagi sedangkan pengisian minyak petrol secara percuma bermula jam 6.30 hingga 10 pagi.

Menurut Abdul Ghani, inisiatif memberi minyak petrol secara percuma kepada orang ramai sebahagian daripada progam sedekah jariah dilakukannya bersama rakan FB dalam usaha meringankan beban masyarakat.

Katanya, idea memberi minyak percuma timbul secara spontan sebelum dia berbincang dengan pemilik stesen minyak terbabit bagi merealisasikan hasrat itu.

“Saya anggarkan lebih 2,000 orang yang terdiri pekerja kilang sekitar Tikam Batu, Sungai Petani, Butterworth dan Prai selain penduduk setempat mendapat manfaat pemberian ini yang kos keseluruhan hampir RM6,000.

“Sumbangan minyak percuma ini kali pertama diadakan. Insya-Allah jika ada rezeki dan kewangan yang mencukupi, program itu akan diadakan lagi,” katanya ketika ditemui di stesen minyak berkenaan, semalam.

Abdul Ghani berkata, sebelum ini setiap bulan pada Jumaat minggu pertama hingga ketiga, beliau mengadakan program memberi beras kepada orang ramai.

“Pemberian minyak petrol percuma ini sedekah jariah bagi meringankan beban masyarakat terutama golongan pendapatan rendah terdiri pekerja kilang, pesawah, pekebun dan nelayan namun sumbangan ini amatlah kecil dan tidak seberapa, tetapi diharapkan dapat memberi manfaat.

“Ia bukan untuk mencari publisiti atau menjadi popular, tetapi sekadar melakukan sedekah jariah.

“Ini semua bukan daripada saya seorang sahaja, tetapi hasil sumbangan rakan FB,” katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2016 @ 10:18am
d