mutakhir

Bidaan 'Untitled' RM85,000

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Lukisan berjudul Untitled karya Dr Jolly Koh yang dijual dengan harga RM85,000 mencatat bidaan tertinggi dalam lelongan karya seni anjuran Henry Butcher Art Auctioneers di Galeri Prima, Balai Berita, di sini, semalam.

Karya bermotifkan emosi dengan suasana alam semula jadi itu dihasilkan pada 1960 menggunakan cat minyak di atas kanvas berukuran 127 sentimeter x 100 sentimeter.

Lukisan berjudul End Of The Day karya Eng Tay pula menduduki tempat kedua dengan harga RM50,000 diikuti Untitled karya Kow Leong Kiang (RM48,000).

Lelongan lukisan yang julung kali diadakan di Galeri Prima itu mempamerkan 131 lukisan dari Malaysia dan Asia Tenggara.

Apa yang menarik, semua hasil seni dari 1960-an hingga 2015 itu diperoleh daripada pengumpul, bukan artis.

Pengarah Henry Butcher Art Auctioneers Sim Polenn berkata, pihaknya turut mengadakan lelongan kali pertama menampilkan 91 barangan antik daripada koleksi Peranakan Baba Nyonya.

Katanya, lelongan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pembida tempatan dan luar negara seperti Singapura yang sanggup berbelanja besar bagi menyimpan koleksi berharga yang semakin sukar ditemui.

Menurutnya, lelongan barangan eksklusif yang berusia lebih 100 tahun itu amat menarik kerana ada antara koleksinya milik persendirian seperti pemilik syarikat perlombongan terawal di Kuala Lumpur, Kapitan Yap Ah Loy yang diwarisi turun-temurun daripada beberapa generasi.

“Kain penutup keranda bermotif sulam timbul budaya Peranakan mencatatkan jumlah tertinggi bidaan dengan harga RM54,000.

“Turut mendapat perhatian ialah set bekas tembikar Kamcheng berwarna merah jambu dan hijau muda dengan harga RM30,000 diikuti sebuah bekas tembikar Kamcheng berwarna merah jambu pada harga RM27,000 serta mangkuk tingkat berusia 116 tahun dibida pada harga RM26,000,” katanya.

Sim berkata, berdasarkan sambutan menggalakkan semalam pihaknya bercadang mengadakan lelongan sama dengan koleksi lebih menarik pada masa depan.

Disiarkan pada: November 7, 2016 @ 8:44am
d