mutakhir

20 tahun cari kekuatan diri

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Membesar dengan psoriasis bukanlah mudah, apa lagi terpaksa berdepan pandangan umum sepanjang fasa persekolahan, kolej, universiti, hinggalah ke alam pekerjaan.

Tidak kira lelaki atau perempuan, majoriti penghidap penyakit itu terpaksa menerima perubahan 360 darjah dalam hidup terutama membabitkan rutin seharian.

Bagi pesakit, pandangan umum bukan setakat mengheret sejuta persoalan berat, malah kerap merampas keyakinan diri mereka untuk berdepan khalayak.

Pekerja bank, Sofia Lovi, 36, berkata, dia mengambil masa hampir 20 tahun untuk menerima takdir dan keadaan diri seadanya.

“Bayangkan, saya mula disahkan menghidap psoriasis plak ketika baru mencapai usia 12 tahun.

“Pada umur itu, saya mendapat banyak kejutan dan tekanan termasuk perubahan kulit yang asalnya sempurna, perlahan-lahan tumbuh tompok merah tebal dan bersisik.

“Sendi tubuh juga kerap sakit dan saya mula berasa diri hodoh untuk bertemu khalayak,” katanya ketika ditemui di majlis perasmian Hari Psoriasis Sedunia 2016 di Taman Botani Perdana di sini, semalam.

Majlis santai itu dirasmikan Ketua Perkhidmatan Dermatologi Kementerian Kesihatan, Datin Dr Asmah Johar.

Menurut Sofia, dia umpama kehilangan zaman kanak-kanak dan remaja kerana terlalu bimbang dengan pandangan serta pendapat orang terhadap keadaan kulitnya.

“Sehingga pada 2014, saya terlantar akibat jangkitan paru-paru atau pneumonia sebaik pulang daripada bercuti di Switzerland.

“Ketika itu saya dirawat di hospital selama setahun setengah dan dalam tempoh berkenaan, penyakit psoriasis kian teruk, disusuli radang sendi yang menyebabkan saya tidak boleh berjalan,” katanya.

Begitupun, hasil sokongan keluarga, semangat daripada teman dan majikan serta doa yang tidak pernah putus, Sofia akhirnya berubah menjadi lebih positif.

Sekalipun kedua-dua tangannya kini menghadapi masalah sendi, namun Sofia bertambah yakin berdepan khalayak.

“Setiap hari saya akan mandi sejam membersihkan kulit sebaiknya.

“Saya juga mengamalkan gaya hidup lebih positif, bergaul dengan teman dan sekarang yakin berdepan orang ramai terutama dalam membantu kempen kesedaran Persatuan Psoriasis Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Dermatologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) merangkap Pengerusi Pendaftaran Psoriasis Malaysia, Dr Azura Mohd Affandi berkata, psoriasis penyakit keradangan kulit kronik yang menyebabkan kulit menebal lebih cepat.

Disiarkan pada: November 7, 2016 @ 8:50am
d