mutakhir

Guru lalok tak terlepas

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kulim: Kementerian Pendidikan memberi kebenaran kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menjalankan ujian saringan air kencing terhadap guru dengan kerjasama polis dalam usaha membendung kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga pendidik.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, JPN boleh memainkan peranan mengesan guru yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah dengan menjalankan ujian saringan air kencing itu di sekolah yang dikenal pasti berisiko terhadap gejala itu.

Menurutnya, kementerian menyerahkan cadangan (menjalankan ujian air kencing) itu kepada negeri masing-masing kerana mereka mempunyai fokus sasaran selain ada maklumat hasil hubungan baik dengan polis.

“Boleh dibuat (ujian air kencing). Contohnya, Ketua Polis negeri dengan Pengarah JPN duduk berbincang dan kenal pasti sekolah sasaran, kami tak ambil semua guru (untuk ujian air kencing).

“Kita ada pekeliling perkhidmatan, kemudian ada perkara tatatertib di peringkat kementerian di mana kalau kes berat membabitkan polis dan mahkamah sehingga dibuktikan bersalah, maka tiada tolak ansur hal berkaitan pembabitan guru dalam kes ini dan kita serah pada polis,” katanya selepas merasmikan sambutan Jubli Emas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahang di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penahanan seorang guru sekolah menengah di Lawas, Sarawak kerana disyaki mengedar dadah jenis syabu, kelmarin.

Guru berusia 33 tahun itu ditahan bersama seorang lelaki berusia 36 tahun dalam kereta di Jalan Merapok, Lawas bersama satu peket syabu seberat 27.7 gram dianggarkan bernilai RM4,000 yang disembunyikan dalam tempat letak tangan kenderaan berkenaan.

Mengulas mengenai pendedahan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) berkaitan kekurangan tenaga pengajar dan fasiliti yang didakwa punca kanak-kanak autisme di negara ini terpinggir, Mahdzir berkata, kementerian sudah mengambil maklum berkaitan hal itu dan tindakan lanjut akan diambil.

Disiarkan pada: November 7, 2016 @ 8:58am
d