mutakhir

Giat kesan lima beradik 'ghaib'

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Polis giat meneruskan usaha mengesan lima beradik yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu selepas menghadiri majlis keagamaan di sebuah pusat ibadat di Taman Ungku Tun Aminah, di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, pihaknya kini cuba mencari adik-beradik itu di Bukit Gambir, Muar kerana dipercayai saudara-mara ibu kandung lima beradik itu berasal dari daerah itu.

“Sebelum ini, kami menjalankan siasatan di sebuah premis di Masai bagi menjejaki ibu kandung mereka, namun alamat itu didapati meragukan.

“Polis pergi ke kawasan Masai, kini kami menjalankan siasatan di satu alamat di Bukit Gambir, Muar.

“Saudara ibu kandung mereka dikatakan ada di kawasan itu, namun setakat ini kami belum mendapat alamat tepat,” katanya.

Isnin lalu, Yeo Soon Chuan, 17, Yeo Soon Shen, 16, Yeo Soon Yuan, 13, Yeo Soon Hoo, 12, dan Yeo Soon Lian, 10, yang ditempatkan di Pertubuhan Kebajikan Shan De di sini, dilaporkan hilang ketika menghadiri majlis keagamaan.

Mereka ditempatkan di pusat jagaan itu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak Julai lalu dan ibu kandung mereka yang juga seorang balu dilaporkan pernah memohon membawa keluar anaknya, namun tidak mendapat kebenaran JKM.

Sehingga kini, ibu kandung adik-beradik itu masih gagal dikesan bagi membantu siasatan.

Sehubungan itu, orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai lima beradik itu diminta menghubungi polis atau tampil ke balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: November 7, 2016 @ 9:25am
d