mutakhir

e-sukan digilai kaki game

Oleh Hazril Md Nor

Kuala Lumpur: Industri game atau e-sukan kini makin mendapat perhatian terutama dalam kalangan remaja.

Pasukan dibentuk untuk bersaing bukan saja di peringkat tempatan, namun menempa nama di persada antarabangsa.

Namun, semestinya selain menjadi pemain aktif permainan terkemuka, bakat tempatan berpotensi untuk peluang lain yang cerah iaitu menjadi pembangun game itu sendiri.

Program Level Up KL berlangsung selama lima hari memberi peluang kepada anak muda, pembangun game yang bernaung di bawah syarikat atau bergerak bebas untuk menuntut ilmu dan mendapat peluang di peringkat lebih tinggi.

Level Up KL yang berlangsung hingga Rabu ini di Kuala Lumpur dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan turut ditaja Media Prima Digital Sdn Bhd (MPD) untuk menggilap bakat dan produk tempatan ke peringkat lebih tinggi setaraf nama terkenal di antarabangsa.

Ia bukan saja membabitkan seminar semata-mata malah peserta berpeluang menjual produk kepada pembangun luar atau memperkenalkan produk kepada syarikat berpotensi.

Aktiviti seperti Anugerah Game Mudah Alih Antarabangsa SEA (IMGA), SEA Game Jam 2016, pensijilan Unity, GameFounders Asia - Demo Day dan seminar industri antara pengisian menarik sepanjang lima hari itu.

Antara fokus utama ialah SEA Game Jam iaitu pertandingan membangunkan game dalam masa 36 jam secara berkumpulan yang menampilkan bakat tempatan berkolaborasi dengan peserta dari negara Asia Tenggara lain.

Difahamkan, lebih ramai anak muda bergiat dan memandang serius lapangan ini memandangkan masa depan industri pembangunan game bergantung kepada mereka sebagai tenaga kerja dalam sektor ini.

SEA Game Jam memberi akses kepada pembangun tempatan untuk kesemua platform teknologi namun populariti daripada rakan penganjur Level Up iaitu Unity digunakan separuh daripada peserta acara.

Pasukan juara bakal memenangi RM8,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing mendapat RM5,000 dan RM3,000 serta Oculus Gear VR.

Pembentangan idea berkumpulan atau game ‘pitcthing’ diadakan di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur esok.

Disiarkan pada: November 7, 2016 @ 9:55am
d