mutakhir

Pantang berganjak!

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Ratusan penduduk Orang Asli di beberapa pos di Hutan Simpan Balah, di sini, sepakat membina lebih banyak sekatan lori balak selagi tuntutan mereka tidak dilayan kerajaan negeri.

Kini, tiga sekatan sudah dibina Orang Asli iaitu di Jalan Pos Pasik, Jalan Bihai dan di Simpang Kampung Petei, Pos Tohoi untuk menghalang balak dibawa keluar.

Wakil penduduk Orang Asli, Mustafa Along, 29, berkata, kemarahan penduduk sudah sampai kemuncaknya berikutan pelbagai ugutan diterima daripada pembalak selain tiada sebarang kata putus daripada kerajaan negeri berhubung tanah wilayah adat Orang Asli.

“Sekatan ini dibina demi menjaga hutan ini daripada terus diteroka kerana kami bergantung sepenuhnya kepada hasil hutan. Sekiranya masih tiada perkembangan, kami berhasrat untuk membina lebih banyak sekatan.

“Apabila kita membina sekatan itu semua kerja pembalakan di Hutan Balah terpaksa dihentikan walaupun terdapat banyak kayu balak yang sudah ditebang tersadai di hutan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan 200 penduduk membabitkan beberapa kampung membuat sekatan bagi menghalang syarikat pembalak daripada mengeluarkan hasil kayu di Hutan Simpan Balah kerana didakwa merosakkan alam sekitar.

Susulan sekatan itu, Persatuan Pembalak Kuantan (PPK) mendakwa 15 syarikat pembalakan yang memegang lesen konsesi balak berdepan kerugian hampir RM50 juta selepas dihalang sekumpulan Orang Asli untuk membawa keluar 50,000 tan metrik kayu balak yang ditebang di Hutan Simpan Balah, di sini, sejak 28 September lalu.

PPK nekad mengeluarkan balak yang terperangkap di di Hutan Simpan Balah meskipun mendapat tentangan penduduk Orang Asli.

Seorang lagi penduduk Orang Asli, Aboh Alang, 51, mendakwa tindakan penduduk membina sekatan itu adalah inisiatif mereka sendiri bukan didalangi oleh mana-mana pihak seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Masa depan kami semakin gelap berikutan kawasan hutan tempat mencari rezeki musnah akibat aktiviti pembalakan.

“Oleh itu, kami semua bersepakat membina lebih banyak sekatan bagi menghentikan aktiviti pembalakan di kawasan kampung Orang Asli,”katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Datuk Mat Yusoff Abd Ghani ketika diminta mengulas mengenai perkara itu berkata, tindakan Orang Asli adalah untuk menuntut keadilan.

“Selama ini, kami juga membangkit masalah Orang Asli ini pada sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan, tetapi tidak dihiraukan pemimpin kerajaan negeri.

“Mereka (penduduk Orang Asli) semakin hidup terseksa bukan sahaja hutan dekat kampung mereka semakin pupus, tetapi kawasan tadahan air bukit turut musnah dengan pembalakan,” katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2016 @ 9:44am
d