mutakhir

Demi amanah Allah

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur: “Saya bersara awal kerana mahu memberikan tumpuan sepenuhnya menjaga anak-anak yatim di sini.

“Sebelum ini, peluang itu terbatas (menjaga anak yatim) kerana terlalu sibuk dengan tugas hakiki,” kata Suzana Jafar, 49.

Suzana bekas guru kanan Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (2) sanggup bersara awal demi membantu suaminya menjaga 25 anak yatim di Rumah Bakti Nur Syaheera, Cheras, di sini sejak tiga tahun lalu.

Rumah berkenaan dibuka suami, Johari Basri, 53, pada 2009 dan menjadi rumah kedua kepada anak-anak malang itu.

Tiga daripada lapan anak pasangan terbabit turut membantu menguruskan rumah berkenaan yang sudah dianggap penghuninya seperti adik-beradik.

Timbalan Pengerusi Rumah Bakti Nur Syaheera itu berkata, beliau tidak pernah menyesal meninggalkan kerjaya yang sebati dalam dirinya selama 26 tahun hanya semata-mata mahu menjaga amanah Allah.

“Ini saham akhirat saya, suami dan anak-anak. Solat lima waktu saya belum tentu diterima Allah dan berharap pahala ini (menjaga anak yatim) boleh membantu saya di akhirat kelak.

“Alhamdulillah, saya tidak menyesal (bersara awal), malah berasa kehidupan hari ini lebih seronok dan bermakna bersama mereka (anak-anak yatim),” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, beliau amat mementingkan hubungan kekeluargaan dan sebab itu anak-anak di pusat jagaan berkenaan memanggilnya mama manakala suaminya pula abah.

“Saya menyayangi mereka seperti anak sendiri dan kerana perasaan itu juga membuatkan saya rasa berat hati untuk berpisah seketika setiap kali mereka pulang ke rumah keluarga sewaktu cuti sekolah atau perayaan.

“Saya bimbang mereka tidak mendapat makanan sempurna seperti di sini kerana mereka berasal daripada pelbagai latar belakang keluarga termasuk miskin,” katanya.

Suzana mengakui, jiwanya sebagai pendidik tidak pernah luntur dan akan memastikan mereka turut mendapat pendidikan sempurna.

“Saya seronok melihat mereka dapat ke sekolah semula dan menghantar ke kelas tambahan luar pada waktu malam bagi anak bersekolah menengah untuk meningkatkan prestasi pelajaran.

“Saya dan suami menjaga mereka secara ikhlas serta tidak minta sebarang balasan. Cuma mahu mereka tidak melupakan asal usul, berjaya dalam kehidupan dan dapat berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Johari berkata, Rumah Bakti Nur Syaheera adalah rumah anak yatim kedua dibukanya dan terdapat tiga lagi rumah lain di lokasi berbeza.

“Menguruskan rumah anak yatim tidak mudah seperti yang disangka tetapi atas rasa tanggungjawab saya sanggup memikul tugas ini.

“Sejak dari kecil saya sudah biasa dengan situasi ini kerana arwah datuk suka membantu anak yatim atau gelandangan dengan cara memberi makanan.

“Ini memotivasikan saya untuk membantu anak-anak yatim dan ia turut diikuti anak-anak,” katanya.

Mengimbau pengalaman membuka rumah anak yatim pertama di Pengkalan Hulu, Perak pada 2007, katanya, beliau bersama tiga rakan pernah berjalan sejauh 15 kilometer untuk mencari dana bagi pengurusan rumah berkenaan.

“Saya ketepikan perasaan malu untuk membela nasib anak yatim supaya mereka dapat menikmati kehidupan lebih baik.

“Saya berjalan disebabkan tiada kenderaan kerana dijual selain turut menjual 0.8 hektar tanah untuk menampung kos rumah anak yatim berkenaan selama setahun,” katanya.

Beliau bersyukur dikurniakan isteri yang turut berkongsi minat sama dengannya menjaga anak-anak yatim.

Disiarkan pada: November 8, 2016 @ 9:50am
d