mutakhir

'Saya sanggup buat apa sahaja'

Oleh Asrizal Aris

Sungai Buloh: “Saya sanggup buat apa saja asalkan anak saya terus bernafas,” itu kata Nor Azreen Anwar, 26, ibu kepada Muhammad Nasrullah Muhammad Nazri, 3, kanak-kanak pesakit sindrom Menke’s Kinky Hair yang membawa kepada kerosakan otak.

Lebih malang, suaminya pula meninggal dunia tiga minggu lalu akibat kanser kulit tahap empat menyebabkan dia terpaksa membesarkan anak tunggalnya itu seorang diri.

Nor Azreen berkata, selepas pemergian arwah suami, dia terpaksa keluar dari rumah sewa dan menumpang di rumah ibu serta bergantung hidup kepada bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, jumlah itu tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan rawatan dan susu buat anaknya yang mencecah RM2,500 sebulan.

“Nasrullah disahkan menghidap penyakit genetik ini ketika berusia tiga bulan dan ketika usianya sembilan bulan, keadaannya semakin serius serta hanya bergantung pada susu untuk pemakanannya yang disalurkan menggunakan tiub melalui hidung.

“Meskipun pihak hospital mengesahkan jangka hayatnya tidak lama, saya tetap berusaha untuk membesarkannya kerana saya cuma ada dia selepas suami meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Saujana Utama, semalam.

Menurutnya, dia pernah meminta bantuan sumbangan orang ramai melalui Facebook kerana anaknya sudah terputus bekalan makanan namun dikecam netizen membuatkannya buntu untuk memperoleh perbelanjaan rawatan serta makanan anaknya.

Menurut Nor Azreen, setiap minggu anak syurganya itu perlu mendapatkan rawatan terapi dan menukar tiub di hidungnya.

Katanya, pihak hospital mencadangkan untuk menjalankan pembedahan namun dia tidak mahu mengambil risiko kerana takut memudaratkan lagi penyakit yang dialami anaknya.

“Saya tahu anak saya membesar dalam keadaan organ dalamannya semakin mengecil. Tetapi sudah lebih tiga tahun dia bertahan, kenapa tidak saya untuk sahut semangatnya.

“Biarlah dalam kesusahan, saya tetap akan jaga dia selagi dia boleh bernafas. Saya sangat berterima kasih kepada mereka yang memberi sumbangan kepada anak saya,” katanya.

Menurutnya, selain bergantung hidup daripada sumbangan rakan-rakan, ibunya turut membantu hasil daripada pendapatan menjual kuih karipap dari rumah.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh melakukannya melalui nombor akaun Maybank 162218564334 atas nama Nor Azreen Anwar.

Disiarkan pada: November 8, 2016 @ 9:58am
d