mutakhir

Salam Halal

Oleh Garret Dawum

Serdang: Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemilik premis makanan yang gemar meletakkan sijil halal palsu menjadi idea kepada seorang graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) mewujudkan aplikasi mengesan status halal premis makanan mengikut spesifikasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Graduan sarjana sains yang membangunkan aplikasi Salam Halal, Muhammad Syukri Metussin, 29, berkata, ia boleh didapati dengan mudah dan percuma melalui telefon pintar yang dimuat turun di Google Playstore.

Katanya, sejak dilancarkan pada Oktober tahun lalu, dia tidak menyangka sambutan diterima menggalakkan apabila 1,200 pengguna termasuk di Brunei yang memuat turun aplikasi berkenaan.

“Aplikasi ini memudahkan pelancong Islam yang mementingkan status halal mencari makanan ketika berada di sekitar ibu kota.

“Walaupun kami tahu Jakim mewajibkan premis makanan memaparkan sijil halal, tetapi masih ada peniaga yang tidak bertanggungjawab meletakkan sijil halal palsu demi menarik pelanggan.

“Dengan adanya aplikasi ini, pengguna tidak perlu risau lagi untuk memastikan sijil halal tersebut diperakui Jakim atau tidak,” katanya.

Menurut Muhammad Syukri, aplikasi itu menggunakan Live AR View iaitu teknologi Augmented Reality (AR) GPS menggunakan kamera peranti untuk melihat restoran halal sekitar kawasan pengguna.

“Penggunaan teknologi AR adalah yang pertama di dunia dan mempunyai ciri rangkaian sosial sendiri bagi membolehkan pengguna berkongsi gambar hidangan makanan mereka daripada restoran yang dikunjungi.

“Buat masa ini aplikasi ini hanya terhad di kawasan Kuala Lumpur dan dalam proses menaik taraf bagi perancangan untuk diperluaskan di pasaran global,” katanya.

Katanya, pengenalan aplikasi itu juga satu langkah pemerkasaan sistem makanan halal di Malaysia.

“Dengan aplikasi telefon pintar yang menggabungkan unsur teknologi dan syariah seperti ini, orang luar bertambah yakin dan percaya dengan kualiti sistem halal di Malaysia,” katanya.

Bagi pembangunan aplikasi itu, Muhammad Syukri dibantu Ketua Laboratori Polisi dan Pengurusan Halal, Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) UPM, Prof Madya Dr Rodziah Atan dan Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Prof Madya Dr Nurdeng Deuraseh.

Disiarkan pada: November 9, 2016 @ 9:36am
d