mutakhir

REACH kaji pencemaran udara

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Cameron Highlands: Selepas penemuan sembilan jenis sisa racun perosak organoklorin yang diharamkan di Sungai Terla dan Bertam serta air paip terawat oleh penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2014, kini satu lagi kajian giat dijalankan bagi mengesan sama ada udara di kawasan peranginan tanah tinggi, beracun atau selamat.

Kajian pencemaran udara itu dijalankan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dengan kerjasama Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH) dalam mengesan pencemaran udara daripada bahan kimia seperti amonia, sulfur dan sebagainya yang mungkin berpunca daripada racun perosak dan baja digunakan untuk aktiviti pertanian.

Presiden REACH, R Ramakrishnan berkata, kajian pencemaran air yang dijalankan sebelum ini adalah fasa pertama dilakukan pihaknya bersama beberapa kumpulan penyelidik dan kini memasuki fasa kedua dalam mengesan pencemaran alam sekitar di kawasan tanah tinggi berkenaan membabitkan pencemaran udara.

Menurutnya, memorandum persefahaman antara pihaknya dan MetMalaysia untuk menjalankan kajian pencemaran udara di Pusat Biodiversiti REACH di Gunung Brinchang, ditandatangani pada 25 Oktober lalu dan pihaknya sebelum itu sudah membuat dua ujian persampelan udara.

“Saya difahamkan MetMalaysia memang ada menjalankan kajian udara di stesen mereka di sini, namun berdepan masalah kerana kawasan sekitar stesen mereka semakin membangun dan sukar untuk mendapat bacaan yang tepat,” katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2016 @ 9:53am
d