mutakhir

Penampar pencuri telur

Oleh Nor Shafinaz Sari

Alor Gajah: Pelbagai pengalaman termasuk detik cemas ditampar pencuri ketika mahu menyelamatkan telur penyu dalam kawasan jagaannya tidak mematahkan semangat Haron Safar, 60, untuk meneruskan tugas sebagai ‘renjer penyu’.

Bekas tentera itu mula menjalankan aktiviti mengutip telur penyu di sepanjang pantai Ayer Hitam Darat, Masjid Tanah di sini, sejak 1986, didorong rasa minat dan sayangkan haiwan dalam kelompok vertebrata.

Sepanjang menjalankan tugasnya, Haron sering berputih mata akibat perbuatan khianat individu tidak berpuas hati dengan ketegasannya menjalankan tugas termasuk perahunya dibakar dan motosikal dirosakkan.

“Malah, saya pernah ditampar kerana melarang seorang individu daripada mengambil telur penyu. Dia yang berang kemudian terus menyerang saya menyebabkan saya terpaksa membuat laporan polis sebagai langkah keselamatan.

“Bagaimanapun, saya tidak kisah kerana menyelamatkan telur penyu dan memastikan reptilia itu terus membiak. Orang ramai tidak faham mengenai kepentingan program yang kami jalankan iaitu mengelakkan penyu daripada kepupusan,” katanya.

Terdahulu, Haron menerima Anugerah Renjer Cemerlang sempena Hari Penghargaan Renjer di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Pandang Kemunting di sini, kelmarin. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara Datuk Md Rawi Mahmud dan Pengarah Jabatan Perikanan negeri Mohd Ghazali A Manap.

Sementara itu, Mohd Ghazali berkata, pihaknya merekodkan 324 pendaratan penyu di pantai Tanjung Dahan, Meriam Patah, Tanjung Serai, Padang Kemunting, Kem Terendak, Teluk Belanga dan Balik Batu.

Beliau berkata, sehingga Ogos lalu, 39.71 peratus daripada 40,210 telur penyu ditetaskan manakala telur penyu dieramkan pada September lalu dijangka dapat meningkatkan jumlah penetasan penyu hingga hujung tahun ini.

Disiarkan pada: November 9, 2016 @ 10:03am
d