mutakhir

Tragedi sebulan nikah

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Pekan: Semalam sepatutnya menjadi detik indah buat pasangan suami isteri, Ahmad Shahriduan Zailudin, 29, dan Sharifah Khyaillahasma Syed Asma, 27, apabila menyambut perkahwinan mereka yang genap sebulan.

Namun, segalanya sudah ditentukan Ilahi apabila Ahmad Shahriduan yang juga pesilat kebangsaan terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 116, Jalan Kuantan-Johor Bahru, Rompin, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa yang memandu kereta Perodua Myvi bersama isterinya dikatakan terbabas dan terhumban ke dalam gaung.

Ahmad Shahriduan yang pernah mewakili negara ke Sukan SEA 2015 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala manakala isterinya hanya mengalami cedera ringan.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu yang berasal dari FELDA Chini Timur 1, di sini, dalam perjalanan dari Kuantan ke Rompin sebelum terbabit dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Ahmad Shahriduan hilang kawalan lalu terbabas memasuki gaung di lokasi berkenaan.

“Mangsa yang juga anggota polis bantuan di Pelabuhan Kuantan dikatakan gagal mengawal kenderaannya ketika melalui satu selekoh sebelum terbabas.

“Siasatan awal mendapati mangsa memandu laju dalam cuaca hujan menyebabkan kereta itu hilang kawalan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Muhammad Aidil Roneh berkata, ketika pihaknya tiba di lokasi, mayat mangsa sudah dikeluarkan oleh orang ramai dan dihantar ke Hospital Rompin.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan keterangan isteri mangsa akan diambil bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Leban Condong, Rompin, jam 10 pagi semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang Datuk Mohd Johari Hussain berkata, pemergian Ahmad Shariduan satu kehilangan besar buat negeri ini apabila dia sering menyumbangkan pingat dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

“Kami sudah bagi sumbangan awal menerusi Majlis Sukan Pahang dan melawat keluarga Allahyarham hari ini (semalam),” katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2016 @ 10:14am
d