mutakhir

Takbir rumah ditenggelami air

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Dua keluarga hanya mampu melaungkan Allahuakbar sambil berpelukan apabila kediaman mereka di Kampung Batu Dua, Kuala Nerus, di sini tiba-tiba ditenggelami banjir kilat, petang kelmarin.

Banjir itu berlaku susulan hujan lebat hampir sejam bermula jam 5.45 petang menyebabkan dua daripada tiga takungan air di ladang getah 300 meter dari rumah mereka pecah.

Mohd Nawi Abdullah, 56, berkata, air mula memasuki rumahnya jam 6.20 petang dan surut semula setengah jam kemudian.

Katanya, bukit digondol untuk pembukaan ladang getah baru mengakibatkan keadaan menjadi lebih buruk apatah lagi kolam tadahan dibuat untuk tujuan perladangan turut melimpah.

“Dalam tempoh itu, semua peralatan dalam rumah termasuk almari, katil serta tilam musnah. Dua kereta dan tiga motosikal juga ditenggelami banjir lumpur.

“Ketika kejadian itu berlaku, saya bersama isteri dan enam anak menunggu untuk solat Maghrib sebelum mendengar bunyi dentuman kuat di pintu rumah.

“Tidak lama kemudian, air lumpur memasuki ruang rumah dengan kedalaman setengah meter,” katanya yang memberitahu mereka hanya sempat menyelamatkan diri masing-masing dan saling berpelukan bagi mengelak dibawa arus air.

Mohd Nawi berkata, sebelum ini banjir kilat tidak pernah berlaku di kawasan itu dan percaya ia disebabkan bukit digondolkan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusos berkata, kejadian itu berlaku bukan kerana saluran perparitan tidak sempurna.

Sebaliknya, beliau berkata, limpahan kolam takungan di atas bukit menyebabkan parit sedia ada tidak dapat menampung bebanan dan memasuki rumah penduduk bersama lumpur.

Disiarkan pada: November 10, 2016 @ 10:14am
d