mutakhir

Rebut RM10,000 [METROTV]

Oleh Garret Dawum dan Dewi Nur Safariah

Kuala Lumpur: Mendaki serta mengikuti perkongsian latihan teknikal bersama pakar backpacker dari Jerman iaitu Pengurus Jualan Antarabangsa Produk Deuter Christian Lechelmayr antara aktiviti program Deuter-Harian Metro Camp and Hike 2016 pada 15 dan 16 November ini.

Pengarah Urusan Universal Fitness dan Leisure (UFL) Sdn Bhd Datuk Radha Krishnan berkata, program yang julung kali diadakan turut menyediakan tawaran hadiah cabutan bertuah keseluruhan mencecah RM10,000.

“Dengan yuran pendaftaran RM130, peserta diberi beg cenderahati Deuter, kemeja-T, kad keahlian UFL dan sesuai kepada penggemar sukan lasak khususnya golongan belia.

“Bagi aktiviti pendakian, ia akan diadakan di Gunung Datuk, Rembau, Negeri Sembilan dan berkhemah semalaman di Solok Sengkuang Cabin D’Village,” katanya pada pelancaran program berkenaan di Wisma UFL di Sri Damansara, semalam.

Turut hadir Pengarang Gen Y Harian Metro, Noor Azam Abdul Aziz, Pengerusi Eksekutif UFL, Datuk Abdul Malek Noor, Pengurus Besar UFL, Ahmad Termizi Mahmud, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Rembau, Shah Iqbal Jamalullail dan Pengerusi Majlis Belia Daerah Rembau, Abdul Rafi Abdul Murad.

Radha berkata, program kolaborasi Deuter bersama Harian Metro dan Majlis Belia Daerah Rembau, Negeri Sembilan itu diadakan sempena ulang tahun ke-30 UFL.

“Selain mendaki, peserta akan didedahkan dengan informasi pendakian, keselamatan dan pendidikan berkenaan alam sekitar.

“Setakat ini, sudah ada 120 peserta mendaftar dan kami menyasarkan 200 peserta mengikuti program ini,” katanya.

Ditanya berkenaan keadaan cuaca, beliau berkata, seramai 20 pembimbing akan ditugaskan bagi membantu keselamatan untuk kelancaran program.

Sementara itu, Noor Azam berkata, kerjasama itu dijalinkan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) Harian Metro untuk mendidik belia menghargai hutan dan memulihara alam sekitar menerusi aktiviti lasak.

“Ia bukan saja untuk mereka yang aktif dalam kegiatan lasak, malah memberi kesedaran kepada generasi muda untuk bersama-sama menjaga kebersihan dan memulihara alam sekitar,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, mereka yang berminat boleh melayari laman sosial Facebook Deuter Harian Metro Camp and Hike 2016 dan pendaftaran dibuka sehingga 13 November ini.

Disiarkan pada: November 10, 2016 @ 10:20am
d