mutakhir

Solat Lab idea UTM terbaik

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Nilai: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor dinobatkan juara Ekspo Inovasi Islam (i-Inova’16) kali ke-7 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), semalam melalui penciptaan alat mengesan kedudukan ketika solat dikenali Solat Lab.

UTM memenangi Anugerah Al-Khawarizmi bagi kategori terbuka melalui kejayaan mencipta alat berkenaan yang mampu memberi manfaat kepada ibu bapa untuk memperbaiki kualiti solat anak mereka terutama yang masih kecil.

Ketua Pasukan UTM, Prof Dr Nor Azman Ismail berkata, idea mencipta alat itu timbul apabila beliau melihat anaknya tidak melakukan solat dengan tertib.

“Memang kita boleh menegur kesilapan yang dilakukan jika melihat mereka melaksanakan ibadat itu, namun bagaimana jika kita tidak bersama mereka.

“Justeru, terlintas di hati kami untuk mencari kaedah yang dapat menyelesaikan masalah itu sebelum berjaya mencipta Solat Lab ini,” katanya ketika ditemui.

Sebanyak 56 pasukan menyertai pertandingan dianjurkan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) USIM bertemakan ‘Inspiring Naqli Aqli Innovations Towards Ummah Well Being’.

Menurutnya, penciptaan alat itu hasil gabungan idea tujuh individu terdiri pensyarah dan penuntut UTM serta seorang pengendali laman web.

“Mereka adalah Pensyarah Kanan Fakulti Tamadun Islam, Dr Kamarul Azmi Jasmi, Timbalan Dekan UTM, Prof Dr Mohd Ismail Mustari, Pensyarah Fakulti Sains, Dr Abd Khamim Ismail dan dua penuntut doktor falsafah (PhD), Nor Azrini Jaafar dan Yusman Azimi Yusoff serta pengendali web, Mohd Sharul Hafiz Razak,” katanya.

Disiarkan pada: November 11, 2016 @ 10:10am
d