mutakhir

Jaga sangkar elak musnah menjelang tengkujuh

Kuala Lipis: Jabatan Perikanan Pahang mengingatkan 971 penternak ikan sangkar di negeri ini supaya memastikan sangkar mereka berada dalam keadaan baik dan selamat menjelang musim tengkujuh, bulan depan.

Ia bagi memastikan sangkar yang ada di beberapa sungai utama di negeri ini tidak musnah dibawa arus jika banjir besar seperti pernah berlaku pada 2013 dan 2014.

Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain berkata, kini ada 8,642 sangkar di negeri ini dan jumlah paling banyak di Pekan iaitu 4,163 unit diikuti Temerloh 2,018 unit yang terletak di Sungai Pahang dan Sungai Semantan.

Katanya, bencana banjir menyebabkan sangkar musnah serta rosak dan ikan diternak akan terlepas.

Katanya, penternak dinasihatkan mengambil tindakan seperti mengikat sangkar pada pokok dan tiang di tebing sungai bagi mengelak dibawa arus deras air sungai apabila banjir berlaku.

“Bagi mengelakkan kerugian, penternak perlu segera memasarkan ikan berusia enam hingga lapan bulan,” katanya dalam program pelepasan benih ikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail di Kampung Kuala Serau, di sini, kelmarin.

Disiarkan pada: November 11, 2016 @ 10:17am
d