mutakhir

Lawan dua penyakit

Oleh Mary Victoria Dass

Kulai: “Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya kerana selang tiga bulan dijangkiti tibi, saya disahkan menghidapi barah pula,” kata pemandu hospital awam, Zulfadly Abdullah, 39, semalam.

Nasib Zulfadly seperti sudah jatuh ditimpa tangga apabila perlu melawan dua penyakit dalam satu masa.

Zulfadly yang tinggal bersama isteri Dihati Mesiran, 38, dan empat anak berusia enam hingga 17 di Taman Sri Muhibbah di sini, berkata, dia yang bengkak dada kiri disahkan menghidap tibi kelenjar di Hospital Kulai pada Mac lalu.

Katanya, penyakit itu menyebabkan nanah dan bengkak sehingga dia perlu berulang-alik ke klinik kesihatan berhampiran dan Hospital Kulai setiap hari.

“Ia bagi membolehkan nanah dicuci dan selepas ia semakin sembuh, saya hanya perlu makan ubat.

“Bagaimanapun, saya pelik apabila terus sakit di bawah lutut kaki kanan dan doktor pada awalnya mengesyaki ia berpunca akibat tibi.

“Saya tidak sangka laporan imbasan mengesahkan saya mengalami tumor sel mengakibatkan tulang bawah lutut kanan reput beberapa sentimeter dan perlu dipasang besi,” katanya.

Zulfadly berkata, keadaan itu mengakibatkan dia tidak mampu berjalan kerana boleh mengundang risiko.

Bagaimanapun, katanya, dia bernasib baik kerana penyakit berkenaan dikesan ketika pada tahap pertama berbanding kebanyakan pesakit barah lain yang dikenal pasti selepas tahap tiga atau empat.

Katanya, dia juga mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi merawat sel barah.

“Doktor minta saya menjalani pemeriksaan enam bulan sekali bagi mengenal pasti sama ada sel barah aktif atau tidak,” katanya.

Menurutnya, dia masih menerima gaji pokok RM1,200 setiap bulan bagi menguruskan perbelanjaan keluarga.

Katanya, bagi menampung kos tambahan, isterinya mengambil upah mengasuh di rumah selain membuat karipap sejuk beku secara sambilan.

“Saya harap dapat sembuh secepat mungkin bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga,” katanya ketika dikunjungi Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kulai Mohd Nor Nari di rumahnya, semalam.

Disiarkan pada: November 12, 2016 @ 4:00am
d