mutakhir

Berkuda dalam gua

Oleh Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

Jerantut: Aktiviti menunggang kuda sambil mengelilingi kawasan gua pasti kedengaran unik dan pengalaman itu sudah semestinya berbeza daripada melakukannya di trek atau di tepi pantai.

Menunggang kuda di kawasan gua menjadikan pengunjung lebih santai kerana suasana redup dinding gua selain pemandangan hijau dari hutan berhampiran yang menyejukkan mata.

Pastinya aktiviti berkuda dapat menjadi terapi minda yang baik selain mengeluarkan peluh selepas penat bekerja.

Terletak 20 kilometer dari Jalan utama Jerantut-Maran, pengunjung boleh menikmati pengalaman baru itu di Taman Warisan Gua Kota Gelanggi, di sini.

Aktiviti julung kali diadakan itu baru saja beroperasi September lalu sempena Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017 yang terbuka kepada semua peringkat usia.

Pengunjung berminat boleh melakukan aktiviti itu setiap Sabtu bermula dari jam 2 hingga 6 petang dan Ahad, jam 9 pagi hingga 6 petang selama 10 hingga 20 minit dengan bayaran RM5 bagi satu tunggangan.

Penyelia Taman Warisan Gua Kota Gelanggi, Azmi Baharuddin berkata, selain beriadah, pada masa sama pengunjung melakukan amalan bersedekah melalui aktiviti berkenaan.

“Aktiviti berkuda di gua ini sebenarnya adalah kerjasama antara pihak pengurusan Taman Warisan Gua Kota Gelanggi, FELDA Residence Tekam bersama Kelab Berkuda Darul Ulom Al-Islamiah Jerantut (DUAJ). Sekolah tahfiz itu membekalkan lima ekor kuda kepada kami untuk melakukan aktiviti promosi pelancongan ini.

“Setiap hasil jualan tiket daripada aktiviti ini akan disumbangkan kepada kelab DUAJ untuk membiayai pengurusan kuda di sekolah tahfiz berkenaan,” katanya.

Katanya, kawasan gua itu yang berkeluasan 145.6 hektar mempunyai 11 gua yang boleh dilawati pengunjung.

Selain berkuda, aktiviti lain turut disediakan ialah sukan memanah, memanah sambil berkuda dan perkhemahan. Beberapa aktiviti lagi dalam perancangan seperti pendakian, memanjat tembok serta memerhati burung.

“Alhamdulillah, setakat ini sambutan amat menggalakkan apabila kami pernah menerima kunjungan 120 orang untuk menunggang kuda dalam tempoh dua hari,” katanya.

Katanya, kawasan gua itu turut menyediakan kemudahan asas seperti tempat letak kereta, tandas, wakaf serta laluan berturap.

Pengunjung, Mohd Fazli Fauzi, 28, berkata, kunjungannya bersama keluarga ke Taman Warisan Gua Kota Gelanggi secara kebetulan apabila melihat lori membawa kuda ketika dalam perjalanan pulang bercuti dari Cameron Highlands.

“Dalam perjalanan pulang daripada bercuti menghala ke rumah di FELDA Jengka 12, Maran, saya terlihat lori membawa muatan kuda dan terus mengekori kenderaan itu sehingga sampai ke sini (Taman Warisan Gua Kota Gelanggi).

“Sebelum ini, saya juga kerap membawa anak dan isteri menunggang kuda kerana aktiviti ini baik untuk kesihatan tetapi melakukannya di kawasan gua adalah perkara baru bagi kami,” katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2016 @ 5:19am
d