mutakhir

Jom keluar peluh

Oleh Siti Farahiyah Aziz

Kajang: Stadium sinonim dengan pelbagai aktiviti sukan seperti bola sepak, bagaimanapun, kini persepsi itu sudah berubah kerana lokasi kemudahan berkenaan turut dijadikan tempat meluangkan waktu petang dan hujung minggu untuk beriadah bersama keluarga.

Masyarakat sekitar bandar ini misalnya menjadikan stadium sebagai satu lokasi riadah keluarga apabila pentadbirannya memanfaatkan Stadium Kajang dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti taman permainan, trek berbasikal, kereta bermotor, buih belon, joging, senaman, badminton dan ‘roller blade’.

Jurutera, Shaipuddin Yusoff, 34, berkata, dia yang pertama kali mengunjungi stadium itu teruja melihat kegembiraan dua anaknya, Athirah Adriana, 6, dan Adam Rayyan, 5, bermain dengan aktiviti disediakan.

“Melihat mereka bebas melakukan perkara diingini, saya pula berasa teruja kerana menunjukkan mereka mampu berdikari, menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan pada masa sama boleh mencuba sesuatu yang tiada di rumah.

“Mana tidaknya sekarang ini kebanyakan kanak-kanak sudah terdedah kepada teknologi sejak kecil sehingga dunia mereka hanya di dalam rumah bersama gajet atau menonton kartun kegemaran di televisyen,” katanya ketika ditemui
di Stadium Kajang, di sini, baru-baru ini.

Suri rumah, Inil Mawal, 29, berkata, di stadium itu anaknya boleh mencuba pelbagai aktiviti kerana kawasan rumah yang terhad menyukarkan untuk mendidik mereka ke arah bersukan.

“Lagipun kebanyakan aktiviti yang disediakan sangat sesuai untuk kanak-kanak pelbagai peringkat umur kerana ada yang bermain di taman permainan, buih belon
dan berbasikal.

“Ia secara tidak langsung boleh merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dan mendorong ke arah gaya hidup sihat,” katanya.

Peniaga, Muhamad Fakhrulradzi Adzhar, 24, berkata, dia yang sudah lapan tahun berniaga di Stadium Kajang dapat merasakan perubahan yang berlaku kerana tiga tahun kebelakangan ini semakin ramai pengunjung membanjiri stadium itu.

“Dulu saya hanya menemani ayah berniaga tetapi sekarang saya dan adik-beradik lain turut menjalankan perniagaan
di sini dengan kebenaran pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

“Harga pula bergantung kepada jenis aktiviti dan masa seperti buih belon berharga RM5 satu mangkuk dan sewaan basikal bermula RM15.

“Kebanyakan pengunjung pelbagai peringkat umur datang ke sini bermula jam 4 petang hingga 12 tengah malam,” katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2016 @ 5:47am
d