mutakhir

'Penanggal' tandas

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kajang: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila diintai seorang lelaki ketika menggunakan tandas di stesen minyak di Jalan Reko, di sini, malam Rabu lalu.

Pada jam 8.45 malam itu, mangsa, Wahida Zainal, 31, diintai seorang lelaki dipercayai warga tempatan dengan memanjat dari tandas bersebelahan.

Wahida berkata, dia singgah ke tandas di stesen minyak itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kajang.

“Suami saya menunggu di dalam kereta tidak jauh dari tandas berkenaan. Ketika itu, hanya saya seorang masuk menggunakan tandas dan keadaan di kawasan itu juga agak sunyi.

“Sebaik masuk dalam tandas, dua tiga kali saya mendongak ke atas kerana ada mendengar bunyi pergerakan,” katanya.

Katanya, tiba-tiba muncul kepala seorang lelaki dari tandas sebelah menyebabkan dia terus menjerit sekuat hati memberitahu ada orang mengintai.

“Saya juga memanggil nama suami dengan harapan dia mendengarnya namun mungkin pintu kereta tertutup rapat, suami tidak perasan jeritan saya.

“Saya terus menjerit sambil menangis sehingga badan berasa lemah kerana membayangkan lelaki terbabit menunggu di luar tandas sambil membawa senjata,”katanya.

Wahida berkata, tidak lama selepas itu dia memberanikan diri untuk keluar dan mendapati seorang wanita turut keluar dari tandas berkenaan.

“Sebaik melangkah keluar, saya dapati lelaki terbabit melarikan diri. Saya meluru masuk dalam kereta dan menceritakan kejadian kepada suami.

“Berikutan itu, suami bersama pekerja stesen minyak berkenaan cuba mengesan individu yang mencurigakan di sekitar kawasan itu namun tidak menemuinya,” katanya.

Menurutnya, dia bersama suami pergi ke kaunter dan meminta pekerja stesen minyak berkenaan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Sementara itu, rakaman CCTV itu turut dimuat naik di Facebook (FB) milik wanita berkenaan dan menasihatkan orang ramai terutama wanita berhati-hati ketika menggunakan tandas awam.

Dalam tulisannya, Wahida melahirkan perasaan geram di atas tindakan biadab lelaki terbabit yang tergamak dan berani melakukan perbuatan itu di tempat awam.

Namun dia bersyukur kerana selamat dalam kejadian itu namun tidak pasti sama ada lelaki terbabit sempat atau tidak merakam gambarnya ketika berada di dalam tandas.

Susulan itu, Wahida tampil membuat laporan di Balai Polis Kajang berhubung kejadian itu bagi membolehkan siasatan lanjut dapat dijalankan.

Disiarkan pada: November 12, 2016 @ 6:17am
d