mutakhir

'Saya akui tersilap langkah'

Oleh Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: “Saya menyeru kepada sahabat-sahabat yang dicari oleh JAWI sama ada OKT (Orang Kena tuduh) dan bukan OKT agar kita sama-sama bermuhasabah diri, kembali ke pangkal jalan yang mana kita mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah sebelum ini.

“Sepanjang saya ditahan polis dan JAWI, saya dilayan dengan baik malah isteri dan anak-anak juga dijaga dengan baik. Apa yang saya nak nyatakan daripada hati saya sendiri, marilah kita kembali kepada jalan yang benar dan berpaksikan al-Quran dan juga sunah, juga mengikuti apa saja prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa Malaysia agar dapat kita sama-sama menuju keredaan Allah.

“Kepada anak-anak, ayah sayang kamu semua dan jadilah anak yang soleh dan taat kepada agama. Kepada isteri, abang minta maaf atas kesalahan yang dilakukan. Kalau ada pengikut yang datang cari, laporkan kepada pihak berkuasa. Semoga kehidupan kita selepas ini akan dirahmati Allah.”

Begitu luahan seorang bekas pengikut Millah Abraham yang kini ditahan pihak berkuasa selepas didapati menyertai ajaran terbabit sejak lebih dua tahun lalu, pengakuan pertama direkodkan selepas mereka digempur Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), baru-baru ini.

Dengan nada yang penuh menyesal, lelaki berkenaan mengakui tersilap langkah memilih ajaran Ahmad Musaddeq itu sebagai pedoman, malah hidupnya musnah selepas lari ke Sabah semata-mata patuh kepada pemimpin Millah Abraham.

Dia yang ditemui di JAWI, menyeru rakan-rakan yang masih berpegang kepada angan-angan untuk menubuhkan negara dengan sistem sendiri itu supaya ‘berhenti berharap’ dan kembali ke pangkal jalan sebelum terlambat.

Katanya, sepanjang menjadi pengikut setia, ajaran itu terbukti hanya memberikan keuntungan kepada pemimpin atasan yang hidup mewah hasil dana yang dikutip daripada pengikut, jauh daripada dakwaan untuk menubuhkan negara dengan konsep Daulah Islamiah.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JAWI, Wan Jaapar Wan Ahmad berkata, pihaknya sedang memburu lima lagi OKT bersama tiga penjamin yang gagal mematuhi perintah hadir ke mahkamah sejak 21 Oktober 2014.

Mereka adalah Mohd Fazil Mohd Yunus, Raja Mohd Faidzul Draman, Mohd Razib Baharudin, Aizul Farikh Zainal Abidin, Amirol Hafiz Mohd Samad, Saiful Azlan Jaludin, Amirul Annas Illies, dan Badran Mat.

Ia susulan penangkapan mereka dalam satu serbuan di dua lokasi di Jalan Cheras dan Wangsa Maju pada 20 Oktober dan 3 November 2014 kerana disyaki terbabit dengan Millah Abraham.

“Justeru, kita meminta kerjasama orang ramai supaya memberikan maklumat dengan menghubungi Farah Wahida Zulkiflee di talian bebas tol penguatkuasaan 1800881771,” katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2016 @ 6:22am
d