mutakhir

Tiga jam RM200

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Jertih: Hanya mengambil masa tiga jam, seorang penuntut kolej mampu menerima antara RM180 hingga RM200 hasil melukis ‘doodle’ pada kasut pelanggan.

Nurul Ilizar Razali, 21, penuntut jurusan Animasi Kolej Komuniti Besut, berkata, dia mempelajari teknik lukisan itu sejak di tingkatan lima.

“Pada mulanya ia sekadar hobi tetapi selepas mendapat permintaan daripada rakan, saya menjadikan ia sebagai sumber pendapatan.

“Saya bermula dengan melukis ‘doodle’ pada kasut sendiri sebelum rakan sekolah tertarik dan mengupah saya melukis ‘doodle’ pada kasut mereka.

“Paling kurang saya peroleh RM500 sebulan bergantung kepada tempahan,” katanya.

Nurul Ilizar berkata, dia memerlukan masa tiga hingga lima jam untuk menyiapkan ‘doodle’ pada sepasang kasut dewasa.

“Bukan saja dewasa, saiz kasut kanak-kanak banyak ditempah pelanggan dan saya memberi pilihan kepada pelanggan sama ada menyediakan kasut sendiri atau memilih kasut disediakan.

“Tempoh diambil bergantung kepada ‘doodle’ ditempah pelanggan. Biasanya yang kerap ditempah ialah bertemakan animasi Jepun untuk kasut dewasa dan watak kartun untuk kanak-kanak.

“Saya mempromosikan ‘doodle’ pada kasut itu di laman sosial antaranya Facebook dan Instagram selain dipromosikan pelanggan dari mulut ke mulut,” katanya.

Menurutnya, kasut dilukis itu mempunyai kelebihan tersendiri kerana ia membuatkannya lebih tahan lama.

“Saya sendiri hingga sekarang memakai kasut ‘doodle’ sama sejak lima tahun lalu. Ketahanan kasut dilukis mendorong pelanggan membuat tempahan,” katanya.

Menurutnya, kasut berhias ‘doodle’ itu bukan saja ditempah pelanggan dari negeri ini malah pelanggan dari negeri lain juga.

“Saya seakan-akan ketagih dengan lukisan membuatkan setiap kali mempunyai waktu terluang, saya akan melukis ‘doodle’ di kasut atau pada kertas,” katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2016 @ 5:19am
d