mutakhir

Sorok bawah pentas

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Bertempiaran lari menyorok di bawah pentas selain ada yang bersembunyi di dalam timbunan pakaian di bilik persalinan.

Itu antara gelagat panik sekumpulan wanita pelayan pelanggan (GRO) dan pengunjung sejurus menyedari premis pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, di sini, diserbu pihak berkuasa jam 11 malam kelmarin.

Operasi Banteras Aktiviti Haram (Op BAH) siri ke-24 membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa itu turut dilakukan di pusat snuker di Jalan Orkid Desa, Desa Tun Razak, di sini, sehingga jam 4 pagi semalam.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikshan berkata, operasi bersepadu itu membabitkan 250 anggota pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Beliau berkata, menerusi serbuan di pusat hiburan itu, 90 individu ditahan Jabatan Imigresen membabitkan 83 wanita Thailand, seorang wanita Laos, seorang lelaki Thailand dan lima lelaki Bangladesh.

“AADK pula melakukan saringan terhadap 74 individu di pusat hiburan itu dan lapan wanita dikesan positif dadah,” katanya.

Sementara itu, serbuan berasingan di pusat snuker pula mendapati premis itu menyalahgunakan lesen diberikan dengan menganjurkan perjudian serta menggunakan khidmat pekerja warga asing tanpa permit.

Katanya, pemeriksaan dilakukan Jabatan Imigresen mendapati 14 individu yang ditahan di lokasi itu warga asing.

“Tangkapan membabitkan lapan lelaki Bangladesh, seorang lelaki Myanmar, empat wanita Filipina dan seorang wanita Myanmar yang didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“DBKL turut menyita peralatan judi di premis terbabit yang dianggarkan bernilai RM183,450 membabitkan enam mesin judi, 117 monitor, 13 modem dan 3 unit kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Mengulas lanjut berhubung penyalahgunaan lesen seperti dilakukan pusat snuker itu, Adnan berkata, pihaknya mengkaji semula syarat pemberian lesen pusat hiburan dan keluarga di ibu kota bagi mengekang salah guna lesen menjurus kepada kegiatan tidak bermoral termasuk perjudian siber serta pelacuran.

Katanya, pemberian lesen dilaksanakan DBKL juga diperketatkan termasuk mengenakan syarat sewajarnya.

“Semua ini berlaku kerana sikap tamak pengusaha demi mengaut keuntungan berganda dan mereka sanggup menyalahgunakan lesen diberikan dengan melakukan aktiviti perjudian dan pelacuran dengan berselindung di sebalik perniagaan sah.

“Sehingga Oktober tahun ini 615 pusat judi siber dikenal pasti beroperasi di ibu negara dan kebanyakannya berselindung di sebalik premis hiburan,” katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2016 @ 5:32am
d