mutakhir

Tanggung rugi ditipu kenalan WeChat

Sabak Bernam: Seorang remaja perempuan yang mahu menjana pendapatan sampingan sebaliknya menanggung kerugian apabila mendakwa ditipu seorang kenalan menerusi aplikasi WeChat.

Mangsa, Nurain Shafiqah Shafee, 15, berkata, wanita yang memperkenalkan diri sebagai Ira itu mula dikenalinya pada 12 Oktober lalu.

Menurutnya, mereka kemudian berbincang kaedah urusan jualan barang menerusi pembelian atas talian.

Pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di daerah ini mendakwa wanita itu menjual pakaian dan kasut pada harga rendah menyebabkan dia tertarik untuk memasarkannya kepada rakan sekolah lain.

“Malah ramai rakan sekolah menunjukkan minat dan membuat bayaran untuk pembelian baju dan kasut ditawarkan wanita itu.

“Saya kemudian menghubungi Ira menerusi WeChat dan diarah memasukkan wang ke dalam satu akaun bank pada 14 Oktober lalu. Saya memasukkan RM60, RM90 dan RM80 ke dalam akaun bank diberikan itu,” katanya ketika ditemui.

Nurain Shafiqah berkata, dia menyedari ditipu apabila semua pesanan berkenaan masih tidak diterima sehingga kini.

“Saya juga gagal menghubungi Ira kerana identitinya di WeChat sudah dipadamkan,” katanya.

Susulan itu mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besar pada 8 November lalu.

Disiarkan pada: November 14, 2016 @ 7:15am
d