mutakhir

Bakti sebelum nikah

Oleh Asrizal Aris

Petaling Jaya: Meskipun tinggal beberapa minggu untuk melangsungkan perkahwinan, seorang wanita sanggup mengambil risiko mendermakan buah pinggang kepada orang yang tidak dikenalinya tanpa pengetahuan penerima itu.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Suzie, 34, berkata, dia adalah sukarelawan sebuah persatuan kempen ikrar derma organ satu masa dahulu yang mempunyai ramai kenalan pesakit yang memerlukan penderma organ.

Menurut Suzie yang menceritakan semula pengalamannya, ketika memberi motivasi dan semangat kepada pesakit-pesakit itu, perhatiannya tertumpu kepada seorang pesakit buah pinggang yang sering trauma dan sedih.

“Saya terlalu asyik mencari penderma dan menarik mereka untuk berikrar menjadi penderma organ, tetapi kenapa tidak saya sendiri menjadi salah seorang penderma ketika saya masih lagi sihat.

“Biarpun pada mulanya ditentang oleh tunang (ketika itu) kerana mahu melangsungkan perkahwinan, tetapi kini kami bahagia dan gembira melihat pesakit itu kembali ceria,” katanya ketika ditemui dalam program The National Kidney Foundation (NKF) Superhero Dance di Sunway Pyramid di sini, semalam.

Menurut Suzie, sehingga kini penerima itu tidak mengetahui siapa penderma buah pinggang di badannya dan dia berharap orang ramai akan berikrar sebagai penderma organ supaya dapat mengurangkan beban penderitaan yang dialami pesakit yang memerlukan penderma.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NKF, Chua Hong Wee berkata, pemindahan organ adalah peluang terakhir pesakit kronik buah pinggang untuk meneruskan hidup mereka.

“Malangnya, hanya satu peratus sahaja penduduk Malaysia yang mendaftar sebagai penderma organ dan ia sesuatu yang membimbangkan kerana terdapat kira-kira 20,000 pesakit yang menunggu giliran untuk pemindahan organ setiap tahun.

“Jadi untuk program hari ini (semalam), selain memberi kesedaran kepada orang ramai, kami juga menyasarkan RM15,000 untuk rawatan dialisis bagi 1,600 pesakit di negara ini,” katanya.

Menurutnya, Superhero Dance Marathon diadakan bagi meraikan wira yang mendaftar sebagai penderma organ dan menyampaikan mesej kepada orang ramai supaya menjadi salah seorang penyelamat nyawa.

Program berkenaan berjaya menarik kira-kira 500 peserta untuk menyertai aktiviti zumba, persembahan fesyen, pertandingan mewarna dan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Dr Khoo Chow Huat.

Disiarkan pada: November 14, 2016 @ 7:24am
d