mutakhir

Penduduk resah dilimpahi lumpur

Gua Musang: Lebih 500 penduduk Orang Asli di Kampung Jedip, Pos Brooke di sini, melahirkan kebimbangan dengan keselamatan mereka berikutan berlaku hakisan tanah dan lumpur dari bukit yang diteroka selepas hujan lebat, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang, kebun pisang dan pokok getah diusahakan beberapa penduduk dikatakan musnah dilanda lumpur dari bukit berhampiran yang diteroka untuk pembukaan ladang sayur.

Bagaimanapun, tiada rumah penduduk yang terjejas.

Seorang penduduk, Din Andak, 49, berkata, ketika kejadian dia berehat bersama keluarga sebelum dikejutkan dengan bunyi seperti tanah runtuh di bukit berhampiran.

Katanya, bimbangkan keselamatan keluarga, mereka sekeluarga bergegas ke luar rumah untuk menyelamatkan diri.

“Lumpur berkenaan memusnahkan tanaman penduduk yang terletak hanya dalam jarak 10 meter dari rumah, namun mujur tiada rumah penduduk yang terjejas.

“Bagaimanapun, susulan kejadian itu, kami dihantui kebimbangan kemungkinan kejadian sama berulang dengan kejadian lebih serius,” katanya, semalam.

Bagi Edi Shariff, 33, sebelum ini penduduk sudah beberapa kali berbincang dengan syarikat terbabit supaya tidak meneruskan aktiviti meneroka bukit itu bagi mengelakkan hakisan tanah.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini, kerja menggondol bukit itu tetap diteruskan tanpa menghiraukan keselamatan penduduk di sini.

“Setiap kali hujan lebat, pasti kami tidak lelap tidur kerana bimbang hakisan tanah dan banjir lumpur dari bukit berhampiran akan merempuh rumah.

“Harapan saya semoga ada pihak tampil mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah kami sebelum ada nyawa penduduk yang melayang,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2016 @ 6:55am
d