mutakhir

Penduduk gempar bengkel terbakar

Batu Caves: Penduduk kawasan Bukit Idaman di sini, gempar apabila sebuah bengkel membaiki kenderaan terbakar hingga memusnahkan tiga kereta dan sebuah lori yang diletakkan berhampiran.

Dalam kejadian jam 6.55 pagi semalam, penduduk kawasan itu segera menghubungi pihak bomba dan penyelamat selepas mendapati kebakaran semakin marak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Azrul Khairi Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7 pagi dan sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Seramai 30 anggota terbabit dalam operasi itu termasuk anggota bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dan BBP Jinjang.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati api semakin marak dan membakar bahagian hadapan bengkel berkenaan,” katanya.

Menurutnya, terdapat tiga kereta dan sebuah lori terbakar dipercayai milik pelanggan yang menghantar kenderaan itu untuk diperbaiki.

Dia berkata, kebakaran itu turut mengakibatkan 60 peratus kerosakan pada bengkel berkenaan.

“Api berjaya dikawal beberapa minit kemudian namun bengkel itu musnah sama sekali. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2016 @ 6:59am
d