mutakhir

Ambil mangsa di tengah laut

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan penerbangan ihsan bagi membawa seorang kru kapal MT New Creation yang cedera di leher bagi mendapatkan rawatan di Hospital Ampuan Rahimah, Klang, Selangor, semalam.

Pengarah Cawangan Operasi Udara APMM, Datuk Rosni Aziz berkata, Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya menerima panggilan kecemasan dari Pusat Kawalan Operasi Pelabuhan (POCC) Singapura kira-kira jam 11.20 pagi semalam sebelum mengerahkan sebuah helikopter AS365 N3 Dauphin dari Stesen Udara Maritim Malaysia Subang.

Beliau berkata, helikopter itu berlepas jam 12 tengah hari dan diterbangkan oleh Leftenan Komander Maritim Mohd Nazri Salim dan Leftenan Komander Maritim Al-Amin Hashim dibantu dua kru pesawat menuju ke Selat Melaka bagi mengesan kedudukan kapal itu.

“Berdasarkan maklumat awal, kapal MT New Creation berada di kedudukan 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Sauh, Selangor. Kapal berkenaan dalam pelayaran dari Korea Selatan menuju ke Arab Saudi dan menggunakan perairan Selat Melaka bagi tujuan itu.

“Pesawat itu berjaya mengesan kedudukan kapal dan kemudiannya melakukan pendaratan di atas kapal untuk mendapatkan mangsa sebelum mangsa dapat dipindahkan ke dalam pesawat jam 1.10 tengah hari,” katanya, di sini, semalam.

Katanya, anak kapal yang cedera itu dikenali sebagai Cai Liang, 32 , seorang warga China.

Rosni berkata, pesawat selamat mendarat di Stadium Majlis Perbandaran Klang pada jam 1.25 tengah hari dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan selanjutnya.

Disiarkan pada: November 15, 2016 @ 7:01am
d