mutakhir

Pengalaman tidur di hutan

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Program Deuter–Harian Metro Camp & Hike 2016 yang bermula hari ini sehingga esok padat dengan pelbagai aktiviti, khusus untuk peserta yang mengambil bahagian.

Pengurus Besar Universal Fitness dan Leisure (UFL), Ahmad Tarmizi Mahmud berkata, aktiviti bermula pada hari pertama selepas semua peserta selesai membuat pendaftaran dengan urusetia.

“Sebaik tiba di Solok Sengkuang Cabin D’Village, peserta dikehendaki mendaftar terlebih dulu sebelum diberi taklimat mengenai program.

“Selesai sesi taklimat, program diteruskan dengan perkongsian latihan teknikal bersama pakar backpacker dari Jerman iaitu Pengurus Jualan Antarabangsa Produk Deuter, Christian Lechelmayr yang bermula jam 3 dan dijangka berakhir pada 6 petang.

“Program disambung semula selepas peserta selesai menikmati hidangan makan malam dengan sesi perkongsian pendakian Gunung Everest bersama Pengurus Xplore Adventure, Mohd Dendera Billah Zamzuri sebelum masing-masing bersurai dan menginap di khemah disediakan,” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata, hari kedua program dimulakan dengan aktiviti senamrobik dan zumba pada jam 7 pagi yang bertujuan untuk memanaskan badan.

Menurut Ahmad Tarmizi, sebaik selesai senaman, peserta disajikan sarapan pagi sebelum memulakan pendakian menawan puncak Gunung Datuk pada jam 8.15 pagi dan dijangka berakhir pada jam 2 petang.

“Majlis penutup diadakan selepas tamat pendakian dan ia pastinya lebih meriah dengan adanya acara cabutan bertuah,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi berkata, khemah dipilih sebagai tempat penginapan kerana ia bersesuaian dengan konsep program dan pihaknya yakin perkara itu tidak memberi masalah kepada peserta terbabit.

Menurut Ahmad Tarmizi, penginapan di khemah bukan saja memberi peluang kepada peserta merasai pengalaman survival di dalam hutan, tetapi mendekatkan lagi diri mereka dengan alam sekitar.

“Memang kawasan ini ada menyediakan kabin, tetapi semua peserta menginap di khemah, bersesuaian dengan konsep program yang dianjurkan.

“Lagipun, kami mahu peserta merasai suasana tidur di kawasan hutan dan cabaran aktiviti perkhemahan,” katanya.

Program sempena ulang tahun ke-30 UFL itu sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) Harian Metro untuk mendidik belia menghargai hutan dan memulihara alam sekitar menerusi aktiviti lasak.

Disiarkan pada: November 15, 2016 @ 7:19am
d