mutakhir

Nelayan gundah gulana

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Nelayan di daerah ini khuatir arus dasar laut bertambah deras manakala air pasang akibat fenomena ‘Supermoon’ dan mereka mungkin terpaksa menempuh detik ‘kapur lana’ atau kemerosotan teruk hasil tangkapan.

Istilah kapur lana popular dalam kalangan nelayan merujuk kepada kejatuhan hasil tangkapan sekali gus menyebabkan mereka mengalami kesempitan wang.

Bagaimanapun, nelayan ditemui tidak cepat berputus asa dan akan tetap turun ke laut dengan harapan mampu pulang dengan hasil tangkapan lumayan atau sekadar cukup menampung perbelanjaan harian.

Nelayan yang hanya ingin dikenali sebagai Firdaus, 37, berkata, pasang dan surut yang berlaku dalam masa singkat menyebabkan arus di dasar laut menjadi deras seterusnya jumlah ikan berkurangan.

“Hari ini (semalam), saya hanya memperoleh dua ekor ikan kerapu dan seekor pari. Hasil tangkapan berkurangan menjelang Supermoon, sukar untuk jangka fenomena alam tetapi kami tidak putus asa dan tetap turun ke laut.

“Bagi kami, ini asam garam kehidupan nelayan, ada hari pulang dengan tangkapan lumayan dan sekarang menempuh detik kapur lana,” katanya di pantai Kampung Padang Kamunting, Pangkalan Balak, semalam.

Rakannya, Amin Razak, 35, berkata, walaupun Supermoon belum bermula sepenuhnya, namun nelayan sudah dapat merasakan kesannya apabila mengesan arus dasar laut pagi semalam.

“Semasa membuang rawai ke laut, saya terkejut apabila mendapati arus dasar laut semasa air pasang sudah deras dan tidak seperti semalam (kelmarin). Arus deras menyebabkan ikan tidak keluar dari batu karang dan ini menyebabkan umpan rawai tidak dimakan.

“Jika kemerosotan hasil tangkapan berpanjangan, saya dan nelayan lain bakal menghadapi kesukaran membuat tabungan bagi menampung perbelanjaan persekolahan anak tahun depan,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2016 @ 7:25am
d