mutakhir

Rutin tak terjejas [METROTV]

Oleh Mohamad Fahd Rahmat dan Essa Abu Yamin

Johor Bahru: Air pasang akibat fenomena ‘Supermoon’ selain hujan lebat menyebabkan kawasan parkir di depan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru yang terletak berhampiran pesisir pantai Lido dinaiki air kira-kira 0.2 meter semalam, namun ia tidak menjejaskan kegiatan rutin orang ramai.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Johor Bahru Leftenan (PA) Mohd Aziz Jupri berkata, keadaan air pasang penuh berlaku jam 11 pagi sebelum surut tidak lama kemudian.

“Hujan lebat dan air pasang yang berlaku pada masa sama menyebabkan air naik sejak jam 10 pagi sebelum pasang penuh sejam berikutnya namun beransur-ansur surut selepas itu.

“Lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikerah ke lokasi dinaiki air di HSA untuk memantau situasi. Tiada kejadian buruk berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya tidak menerima aduan berkaitan lokasi lain di bandar raya ini dinaiki air pada masa itu.

“Bagaimanapun, air pasang penuh dijangka berlaku jam 10.52 malam ini (malam tadi),” katanya.

Manakala di Batu Pahat, fenomena sama menyebabkan air laut melimpahi benteng di pantai rekreasi Punggur, Rengit.

Keadaan itu menyebabkan air laut mencapai ketinggian kira-kira tiga meter namun tinjauan mendapati ia surut kira-kira sejam kemudian.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Batu Pahat Staf Muda Syahir Zahari berkata, paras air masih terkawal namun pihaknya sentiasa memantau perkara itu.

“Kejadian air laut melimpah di pantai rekreasi Punggur masih pada paras normal dan ia disebabkan hujan disusuli angin ribut menyebabkan kawasan kedai berhampiran dinaiki air.

“Penduduk setempat dinasihati sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling dan jika keadaan memburuk penduduk disarankan untuk segera menghubungi APM atau agensi keselamatan berhampiran,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2016 @ 7:32am
d