mutakhir

Suratan diabai ibu

Oleh Zairee Mohd Yasak

Jasin: “Sejak tinggal di Balai Islam kami diajar ibu untuk berdikari supaya tahu uruskan diri jika ditinggalkan,” kata Muhammad Tajul Haikal Hermi, 11, seorang daripada tiga beradik yang ditinggalkan tanpa pengawasan orang dewasa di rumah sewa keluarga itu di Taman Serkam Ria, Serkam, di sini, sejak Khamis lalu.

Anak sulung daripada empat beradik itu ditinggalkan bersama dua adiknya, Muhammad Tajul Iqbal, 10, dan Muhammad Tajul Irfan, 8.

Adik bongsu mereka, Muhammad Tajul Iqram, 5, dibawa bersama ibu mereka, Nurul Ain Mohd Salleh, 31, yang dipercayai turut terbabit dalam aktiviti penagihan dadah.

Bagi mengisi perut, tiga beradik itu mengharapkan ihsan jiran yang menghulurkan bantuan makanan seperti biskut dan mi segera.

Nasib tiga beradik malang itu mendapat perhatian penduduk taman berkenaan yang mengadukan perkara itu kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sebelum pegawai jabatan berkenaan mengunjungi rumah mereka, semalam.

Muhammad Tajul Haikal berkata, April lalu mereka tinggal di rumah milik MAIM di Kompleks Al Huda di Balai Islam Kesidang sebelum berpindah ke rumah sewa di Taman Serkam Ria, sejak September lalu.

“Biasanya kami makan apa diberikan jiran. Jika tiada apa-apa untuk dimakan, kami berlapar sementara menunggu ibu pulang untuk membelikan nasi dengan lauk.

“Kami juga basuh pakaian sendiri dan menguruskan diri sendiri memandangkan ibu kerap tiada di rumah kerana sibuk bekerja,” katanya ketika diselamatkan pegawai MAIM.

Difahamkan, sebelum ini tiga beradik itu dijaga bapa mereka, Hermi Abu Bakar, 35, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap namun lelaki itu kini menjalani hukuman penjara selepas terbabit dengan dadah.

Menurut jiran yang enggan dikenali, Nurul Ain kurang bergaul dengan penduduk di taman itu dan wanita terbabit kerap pulang ke rumah sekitar jam 5 pagi sebelum menghilangkan diri selama beberapa hari.

Jiran, Zurina Harun, 42, berkata, kali terakhir dia melihat Nurul Ain ketika wanita terbabit mengetuk pintu belakang rumahnya untuk menjual kipas meja dan dapur gas disumbangkan orang ramai kepada mereka.

“Itu kali terakhir saya nampak wanita itu bersama anak bongsunya sebelum dia meninggalkan tiga beradik berkenaan tanpa pengawasan orang dewasa dan bekalan makanan mencukupi.

“Sebelum ini, Nurul Ain kerap bertukar tempat kerja. Kali terakhir dia bekerja di kantin sekolah berhampiran namun menghilangkan diri selama sebulan selepas menerima upah RM200 daripada pengusahanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyiasat Agihan Zakat MAIM, Nor Azam Ismail berkata, Nurul Ain menggunakan empat anak lelakinya untuk meraih simpati orang ramai walaupun pernah mendapat teguran dan diberikan kerja yang bersesuaian oleh pihaknya.

Disiarkan pada: November 15, 2016 @ 7:38am
d