mutakhir

Jual tong gas pakai lesen tamat tempoh

Kuantan: Sebanyak 450 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM45,000 disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang di kilang di Gebeng di sini, semalam.

Penyitaan bahan bakar itu dilakukan hasil pemeriksaan dijalankan enam penguat kuasa KPDNKK diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri, Syed Mohd Khairulmei Syed Hassan di premis berkenaan, jam 11 pagi.

Timbalan Pengarah KPDNKK Pahang Alwi Abdul Hamid berkata, siasatan mendapati pemilik kilang berusia 52 tahun itu mendapatkan bekalan dari Klang, Selangor sebelum mengedarkannya di Gebeng dan kawasan sekitar.

Beliau berkata, kesalahan dilakukan kerana tidak memiliki lesen menjual tong LPG apabila lesennya tamat tempoh pada April lalu.

“Pemborong ini sudah mengemukakan permohonan memperbaharui lesen dan disebabkan beberapa dokumen tidak lengkap, ia tidak dikeluarkan.

“Walaupun tidak miliki lesen jualan, penjualan gas LPG masih dilakukan menyebabkan kami menyita 450 tong bernilai RM45,000 hari ini (semalam)," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pihaknya tidak berkompromi bagi memastikan peniaga LPG mematuhi segala peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

Katanya, berikutan itu, pemborong terbabit dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta atau penjara tiga tahun membabitkan individu perseorangan.

Disiarkan pada: November 16, 2016 @ 7:02am
d