mutakhir

Nasi Magic paling murah

Ipoh: Kesusahan hidup yang dihadapi ketika zaman belajar membuatkan seorang peniaga memperkenalkan menu nasi Magic kepada penduduk di sekitar Bandar Meru Raya, di sini.

Mohamad Ezayddy Mohd Sofian, 34, berkata, nasi Magic adalah hidangan nasi yang disediakan dengan dua lauk campur serta sayur dengan harga serendah RM4 sahaja.

Katanya, idea untuk menggunakan nama nasi Magic itu bermula apabila dia merancang untuk memulakan perniagaan menjual nasi bajet yang sesuai dengan taraf hidup masyarakat setempat yang kebanyakannya golongan sederhana.

“Jadi, saya mengambil inisiatif untuk memperkenalkan hidangan nasi berlauk dengan harga RM4 dan apabila melakukan tinjauan di kedai-kedai lain, harga nasi yang ditawarkan adalah yang paling murah di sini.

“Oleh sebab itu saya menamakan hidangan nasi ini sebagai nasi Magic kerana keunikan nama serta harganya mampu menarik pelanggan untuk datang ke sini,” katanya ketika ditemui di gerainya, di sini semalam.

Mohamad Ezayddy berkata, pengalaman membeli nasi berlaukkan kuah di sebuah kedai mamak ketika masih belajar suatu ketika dulu banyak memberi pengajaran dalam hidupnya.

Katanya, kebanyakan kedai meletakkan caj yang mahal sekitar RM2 ke atas harga nasi berserta kuah suatu ketika dahulu.

“Saya memahami rata-rata pekerja dan penduduk di sekitar bandar ini terkesan dengan harga makanan yang luar biasa ini, jadi saya memperkenalkan nasi Magic ini untuk mereka yang tidak berkemampuan.

“Sambutan yang diterima sejak kedai ini dibuka juga menggalakkan sehingga ia menjadi viral di laman sosial kerana ramai orang sanggup beratur panjang untuk membeli nasi di sini,” katanya.

Dia mempelajari resipi untuk memasak lauk-pauk di kedainya itu melalui ibunya sejak setahun yang lalu.

Katanya, pada awal perniagaan ibunya sering membantu memasak lauk untuk dijual di kedainya itu namun selepas mengalami masalah kesihatan dia mula mengambil alih sepenuhnya tugas memasak lauk-pauk berkenaan.

“Jika dahulu saya hanya menjual enam hingga lapan jenis lauk namun disebabkan permintaan semakin menggalakkan, jumlah lauk pelbagai jenis ditambah kepada 35 ke 40 jenis lauk.

“Mujur ada isteri dan seorang rakan yang membantu dalam perniagaan ini. Kami tidak menang tangan jika pelanggan terlalu ramai,” katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2016 @ 7:14am
d