mutakhir

Perlu RM1 juta lengkapi maahad

Kepala Batas: Maahad Tafaqquh Fiddin An-Nur memerlukan hampir RM1 juta untuk menyiapkan pembinaan kompleks pengajian Islam di Kuala Ketil, Kedah bagi membolehkan hampir 200 pelajarnya menuntut ilmu dalam keadaan selesa.

Pusat pengajian berkenaan yang turut menyediakan bidang pengajian lain termasuk keusahawanan pada awalnya dinamakan Pusat Bimbingan An-Nur pada 2009 sebelum menjadi maahad pengajian Islam pada 2013.

Kompleks baru kini sedang dalam pembinaan dan 50 peratus siap tetapi pengurusan maahad terbabit memerlukan hampir RM1 juta lagi bagi membolehkan bangunan serba lengkap siap sepenuhnya.

Pengerusi maahad itu, Ahmad Marzuki Mat Yusof berkata, bangunan sedia ada tidak mampu memuatkan 120 pelajar tahfiz dan 50 pelajar Talaqi Pondok menyebabkan pihaknya membina kompleks baru.

Katanya, pembinaan kompleks baru agak perlahan kerana hanya bergantung pada sumbangan orang ramai sedangkan kos keseluruhan pembinaan kompleks berkenaan mencecah RM2.2 juta.

“Sehubungan itu, kami memohon sumbangan orang ramai bagi membolehkan rancangan membina kompleks sendiri menjadi kenyataan.

“Kami akan mengadakan pogram Makan Malam Amal Bersama Rabbani pada 29 Disember ini bertempat di Dewan Milenium dekat sini, serentak dengan pelancaran tabung kutipan dana,” katanya pada sidang akhbar di Restoran Asraar Hadramawt, semalam.

Selain menyediakan bimbingan al-Quran, maahad berkenaan turut memberi bimbingan fardu ain, Bahasa Arab, pratahfiz selain program keusahawanan, pertanian dan ternakan lembu, kambing, ayam kampung serta arnab.

Ahmad Marzuki berkata, orang ramai boleh memberi sumbangan melalui pembelian meja makan sempena majlis makan malam berharga RM500 jenis Zamrud, Delima (RM1,500), Berlian (RM3,000) dan Intan (RM5,000).

Mereka yang inginkan maklumat lanjut mengenai program Makan Malam Amal Bersama Rabbani boleh menghubungi Muhammad Hafizudin Haris di 017-5066119 atau Ruzaimi Mohd Adnan (019-4949040).

Orang ramai juga boleh mendepositkan wang ke akaun Maybank Maahad Tafaqquh Fiddin An-Nur (552040104914) atau hubungi Ahmad Marzuki di talian 012-5878010.

Disiarkan pada: November 17, 2016 @ 7:57am
d