mutakhir

Belajar berasingan

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Pelajar yang digantung persekolahan setahun kerana terbabit kes buli serius tidak diketepikan daripada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) sebaliknya diberi ruang mengikuti kaedah pembelajaran secara berasingan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata, tidak timbul isu menghalang pelajar mengikuti sesi persekolahan, apalagi membabitkan golongan bermasalah.

“Apabila kita kata sistem penggantungan setahun, ini bukan bermakna pelajar tidak masuk ke sekolah lagi. Itu salah.

“Mereka ini akan mengikuti kaedah pembelajaran berasingan seperti yang akan dicadangkan kelak.

“Apapun, tindakan (gantung sekolah) ini baru di peringkat cadangan, kita masih mengumpul maklumat daripada ibu bapa, guru, bekas pembuli dan mangsa buli terdahulu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah 3K dan Projek Khas 3C 2016, semalam.

Jelas Kamalanathan, banyak reaksi dan cadangan dikemukakan pelbagai pihak, khususnya untuk membantu menyelesaikan isu buli di sekolah secara bijaksana.

“Lontaran idea adalah daripada Menteri Pendidikan sendiri (Datuk Seri Mahdzir Khalid). Beliau mahu melihat bagaimana isu buli dapat dibendung dengan berkesan.

“Ini penting kerana mangsa buli mungkin berdepan trauma selama-lamanya, terpinggir, rendah diri, pasif, sekali gus menjejaskan masa depan mereka.

“Malah, kita percaya pembuli juga akan berdepan masalah. Sebab itu kita mahu pihak berkepentingan turut menyumbangkan idea demi mendapatkan penyelesaian terbaik,” katanya.

Menurut Kamalanathan, semua maklumat yang diperoleh dalam tempoh sebulan ini akan dikumpul untuk dibentangkan dalam mesyuarat akan datang.

“Menteri akan lihat yang mana paling sesuai. Hasrat beliau adalah untuk mewujudkan persekitaran sifar pembuli,” katanya.

Dalam pada itu, Kamalanathan berkata, tiga tunjang utama iaitu kebersihan, kesihatan dan keselamatan harus menjadi panduan dalam menyediakan kualiti pendidikan menyeluruh terhadap murid sekolah di Malaysia.

Katanya, ketiga-tiga perkara itu saling melengkapi aspek penting lain seperti akademik dan sahsiah murid.

“Semua aspek ini wajar diberi perhatian kerana memberi kesan langsung terhadap kehadiran murid ke sekolah,” katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2016 @ 8:01am
d