mutakhir

Berani lakukan perubahan

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPMP) dalam mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran sejajar dengan arus semasa tidak memberikan tekanan kepada guru untuk menjayakannya, malah mereka sudah bersedia melalui sebarang perubahan yang dirancang.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pembelajaran berasaskan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) serta Teknik dan Vokasional (TVET) yang dilaksanakan kementerian mampu melahirkan pelajar lebih berkualiti selain memenuhi kehendak semasa.

Beliau berkata, setiap tenaga pengajar sudah diberikan latihan dan kursus pada peringkat awal sebagai persediaan sebelum program PPMP dilaksanakan.

“Setiap guru perlu berani melakukan perubahan dengan menerima setiap bentuk pembaharuan demi memantapkan lagi proses pembelajaran dan pengajaran yang menggunakan teknologi terkini dan pemikiran lebih kreatif.

“Oleh itu, setiap guru sudah diberikan persediaan secukupnya supaya mereka boleh mengikut setiap perubahan yang dilaksanakan kementerian menerusi PPMP,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Mamee Monster Biskidz, di sini, semalam.

Selain itu, beliau berkata, perubahan yang dilaksanakan kementerian itu tidak memberikan sebarang tekanan kepada guru walaupun ada yang mengatakan bebanan tugas mereka semakin berat.

“Kami perlu melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran mengikut arus semasa iaitu menerapkan teknologi, inovasi dan kreativiti untuk kekal relevan selaras dengan perubahan di dunia.

Selain itu, beliau juga berkata, Malaysia berdepan pelbagai cabaran dalam meningkatkan mutu pendidikan sama seperti negara lain iaitu membabitkan keberkesanan dan prestasi guru di bilik darjah.

“Saya mengakui bahawa pendidikan Malaysia terlalu berorientasikan peperiksaan, dengan itu menerusi pelan transformasi, kementerian kini dalam peringkat pelaksanaan penilaian berasaskan sekolah.

“Bagi memastikan keberkesanan penyampaian efektif dalam bilik darjah, kualiti guru akan dipertingkatkan menerusi pelbagai langkah, termasuk meningkatkan standard kelayakan guru ke program pendidikan guru, melakukan rombakan terhadap Institut Pendidikan Guru dan meningkatkan profesionalisme guru menerusi pelbagai modaliti,” katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2016 @ 8:32am
d