mutakhir

6 'toyol masjid' terjerat

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Dua kembar antara enam remaja lelaki ditahan polis kelmarin kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pecah tabung beberapa masjid di sekitar daerah ini sejak tiga minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, semua suspek berumur 13 dan 18 tahun itu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Segamat di sekitar bandar Segamat dan Bekok antara jam 1 tengah hari dan 3 petang semalam.

“Semua suspek yang tidak lagi bersekolah itu ditahan membantu siasatan kes melarikan tabung masjid di sekitar Bandar Putra dan Bukit Siput sejak tiga minggu lalu,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata, kegiatan itu didalangi remaja berusia 13 tahun dan siasatan awal mendapati mereka melakukan jenayah antara jam 11 malam hingga 5 pagi.

“Kegiatan kumpulan remaja itu dianggap licik kerana mereka dapat mengelakkan dikesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di masjid,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat Deputi Superintendan Yusuf Unis dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Segamat Asisten Superintendan Rahman Ahmad.

Mohd Kamil berkata, suspek menggunakan pahat untuk membuka peti besi tabung masjid dengan memecahkan mangga kunci terlebih dulu.

Menurutnya, sebelum beredar selepas mengambil wang, suspek memasang mangga kunci baru bagi mengelirukan pengurusan masjid sekali gus mengelak kejadian disedari.

“Suspek mengaku melarikan RM60 hingga RM300 setiap kali menceroboh masjid dan memecahkan tabung derma orang ramai.

“Namun, mereka dikenal pasti apabila dirakam CCTV ketika melakukan jenayah itu di Masjid Bukit Siput pada kira-kira jam 11 malam 8 November lalu,” katanya.

Katanya, siasatan turut dilakukan bagi mengenal pasti sama ada kumpulan sama turut bertanggungjawab ke atas kes pecah kedai runcit yang dilaporkan di daerah ini.

“Mereka direman tujuh hari mulai hari ini (semalam) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 dan 457 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan dan pecah masuk bangunan,” katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2016 @ 8:36am
d