mutakhir

Boboiboy kini teroka angkasa

Oleh Syanty Octavia Amry

Kuala Lumpur: Siri animasi popular Boboiboy kini tampil dengan pembaharuan menerusi Boboiboy Galaxy yang bakal ditayangkan di TV3 bermula 25 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Sdn Bhd, Mohd Nizam Abdul Razak berkata, Boboiboy Galaxy bukanlah sambungan daripada Boboiboy, tetapi penjenamaan baru yang digunakan sesuai dengan jalan cerita yang bakal ditayangkan.

“Kami memilih nama Boboiboy Galaxy kerana penggembaraan kali ini lebih meluas di mana Boboiboy dan kawan-kawannya tidak hanya berada di bumi tetapi mereka akan meneroka ke planet lain juga.

“Pelbagai watak lain juga akan diwujudkan namun watak utama masih lagi dikekalkan,” katanya.

Boboiboy Galaxy bakal menemui penonton pada setiap Jumaat, jam 5 petang.

Mengandungi 20 episod untuk kali ini, karakter Boboiboy juga dilihat semakin matang.

Mengulas mengenai perkara itu, Nizam berkata, pihaknya mempunyai sasaran untuk memasarkan animasi ini ke luar negara dan salah satu perkara yang harus dilakukan ialah dengan mematangkan karakter Boboiboy.

“Kami ada menghantar ke beberapa negara untuk menayangkan drama bersiri ini dan ada yang bersetuju namun sebelum ini mereka melihat karakter Boboiboy seperti berusia tujuh tahun, sedangkan saya mencipta karakter itu untuk usia 10 tahun.

“Bagi meyakinkan mereka saya perlu menaik taraf karakter sesuai dengan usia yang diminta,” katanya.

Boboiboy Galaxy mengisahkan siri penggembaraan Boboiboy dan kawan-kawannya iaitu Gopal, Yaya, Ying dan Fang dalam misi membantu mereka yang memerlukan.

Disiarkan pada: November 17, 2016 @ 8:55am
d