mutakhir

Muslihat edar dadah bermotosikal

Kuantan: Seorang lelaki menggunakan motosikal Honda C70 sebagai kenderaan untuk bergerak namun tiada siapa menyangka motosikal itu dijadikan ‘topeng’ untuk menutup kegiatan jijik dilakukan apabila dikesan mengedar dadah di sekitar Panching Timur, di sini, kelmarin.

Kegiatan lelaki berusia 31 tahun itu terbongkar apabila ditahan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Jaya Gading, di sini, jam 3.30 petang ketika dalam perjalanan menghantar bekalan kepada pelanggannya di Jalan Tuanku Abdul Rahman 1, Panching Timur.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, sebelum itu, anggota CPJ yang melakukan tugas rondaan cegah jenayah terserempak suspek menunggang motosikal berada dalam keadaan mencurigakan lalu mengekorinya hampir satu kilometer.

“Anggota polis menahan suspek selepas memintas motosikal ditunggangnya sebelum melakukan pemeriksaan fizikal pada badan, namun tidak menemui apa-apa bahan mencurigakan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pada motosikal suspek, polis menemui botol air berwarna hijau mengandungi dua peket plastik lut sinar berisi ketulan kristal dipercayai syabu sebelum lelaki terbabit bersama barang kes ditahan.

Disiarkan pada: November 18, 2016 @ 8:38am
d