mutakhir

Jasamu dikenang

Oleh Siraj Mohd Zaini

Subang: Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin yang akan bersara 16 Disember depan diraikan dalam istiadat perbarisan ketenteraan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini, semalam.

Perbarisan berkenaan simbolik bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau kepada perkhidmatan TUDM khasnya sepanjang memimpin Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Istiadat membabitkan 15 pegawai dan 318 anggota lain-lain pangkat dengan diketuai Leftenan Kolonel Azril Omree Hasbullah.

Dr Zulkifeli dalam ucapannya menyeru warga TUDM meningkatkan mutu perkhidmatan dan meneruskan kegemilangan serta tidak melupakan pengorbanan pejuang terdahulu.

“Di samping itu, jangan kita menghampakan usaha pahlawan terdahulu yang merintis laluan dan memasang pasak tiang sangga supaya tentera udara mampu berdiri kukuh seperti keberadaannya pada hari ini,” katanya.

Turut hadir, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Roslan Saad, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Affendi Buang, Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad, Panglima Bantuan Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Abdul Mutalib Ab Wahab serta pegawai kanan TUDM.

Dr Zulkifeli, 62, yang dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan dilantik sebagai PAT ke-18 pada 15 Jun 2011.

Antara pengalamannya ketika memegang jawatan berkenaan ketika mengendalikan Op Daulat di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Jawatan PAT akan disandang Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Disiarkan pada: November 19, 2016 @ 4:56am
d