mutakhir

Lokasi selesa keluar peluh

Oleh Siti Fatimah Hassan

Bangi: Jika mengambil kira lokasinya yang terletak jauh dari kawasan bandar, ia pastinya bukan destinasi pilihan utama bagi sesetengah pengunjung yang mahu melakukan aktiviti riadah.

Bagaimanapun, bagi mereka yang mahu mengelak keadaan hiruk-pikuk di kota, Taman Tasik Cempaka memberikan keselesaan untuk meluangkan masa hujung minggu dengan melakukan pelbagai aktiviti.

Bagi penduduk sekitar, menjadi kemestian untuk berkunjung ke situ bersama keluarga terutama apabila taman itu sering menjadi tumpuan pelbagai pihak menganjurkan pelbagai program komuniti.

Kakitangan kerajaan, Khairul Amin Zaini, 32, berkata, walaupun terdapat satu lagi lokasi lain berhampiran rumahnya untuk melakukan aktiviti riadah, namun dia lebih gemar berkunjung ke situ disebabkan kawasannya lebih luas.

Katanya, dia sering membawa anak perempuannya yang berusia tiga tahun ke taman berkenaan setiap hujung minggu kerana berpuas hati dengan kemudahan disediakan seperti trek pejalan kaki, tandas serta parkir.

“Tempat paling dekat dengan rumah saya ialah Stadium Kajang, tetapi di sini lebih luas kawasannya dan lebih selesa walaupun ramai orang ke sini pada hujung minggu.

“Selain itu, kebersihan di taman ini agak terjaga dan banyak tong sampah disediakan,” katanya.

Sambil menikmati kehijauan, orang ramai boleh menggunakan trek joging yang disediakan selain terdapat beberapa kemudahan lain seperti taman permainan dan padang bola.

Pengunjung juga boleh berbasikal, bermain ‘roller blade’ serta bermain papan luncur di tempat disediakan.

Pada masa sama, kawasan yang terletak di Seksyen 8 itu juga turut dipenuhi peniaga makanan, barangan serta pakaian sebagai tarikan kepada pengunjung.

Peniaga air, Mohamad Azman Shahro, 40, berkata, dia yang bertapak di situ sejak setahun lalu gembira dengan pulangan rezeki yang diperolehi terutama ketika hujung minggu dan cuti sekolah.

Disiarkan pada: November 19, 2016 @ 5:01am
d