mutakhir

Lori tak sempat memotong

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop dan Muhamad Izzat Nasuruden

Tapah: Hasil siasatan awal polis mendapati kemalangan membabitkan 16 kenderaan di kilometer 321 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, lima kilometer dari susur masuk Tapah itu dipercayai berpunca daripada lori tangki yang gagal masuk dari lorong kiri ke kanan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, ketika kejadian, terdapat kerja pembaikan jalan di lokasi berkenaan menyebabkan semua kenderaan bergerak perlahan sebelum lori tangki terbabit cuba bertukar laluan dari kiri ke kanan.

“Lori terbabit tidak lepas memotong ketika menukar laluan menyebabkannya melanggar bahagian belakang sebelah kanan bas ekspres sebelum menggelongsor mengakibatkan 14 kenderaan lain melanggar satu sama lain.

“Tiga mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tapah manakala pemandu lori turut mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk rawatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro ketika dalam perjalanan ke lokasi kejadian mendapati terdapat kenderaan menggunakan lorong kecemasan hingga menghalang laluan ambulans untuk sampai ke lokasi kemalangan.

Disiarkan pada: November 19, 2016 @ 5:39am
d