mutakhir

Budak 12 tahun seludup PATI

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Seorang tekong bot berusia 12 tahun yang dipercayai mengambil upah membawa pendatang asing tanpa izin masuk dan keluar dari daerah ini ditahan di perairan Pulau Nunuyan Laut, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari, kanak-kanak lelaki itu ditahan semasa dalam perjalanan balik dengan menaiki bot jongkong dari Pulau Taganak, Filipina bersama seorang lelaki warga Filipina berusia 21 tahun.

Menurut sumber, sebelum kejadian, tekong cilik itu menghantar jenazah seorang warga Filipina yang meninggal dunia di negara ini untuk dikebumikan di kampung di negara asalnya.

Katanya, keluarga si mati dipercayai memajak bot milik tekong kanak-kanak itu untuk tujuan berkenaan.

“Pada waktu pagi, kanak-kanak itu menghantar penumpang ke Filipina dan pada tengah hari, suspek kembali semula ke Sandakan.

“Dia dikatakan menggunakan bot milik bapa saudaranya, sebuah bot jongkong yang berdaftar di Sandakan.

“Kanak-kanak terbabit tinggal di Kampung Mangkalinau, Batu 3, di sini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Pengarah Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sandakan Kapten Maritim A Razak Abd Rahman berkata, bot jongkong dinaiki suspek dikesan dari arah Filipina ke Sandakan.

“Bot APMM memintas bot dinaiki suspek sebelum mendapati seorang kanak-kanak lelaki berperanan sebagai tekong bot dan seorang lagi disyaki penumpang dalam bot itu.

“Kedua-dua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Sementara itu, A Razak berkata, dalam kes berasingan pada jam 2.05 petang kelmarin, bot APMM memintas sebuah bot pancung di perairan Tanjung Aru, di sini.

“Pemeriksaan mendapati tekong bersama tiga penumpang kesemuanya lelaki berusia 28 hingga 59 tahun disyaki ingin keluar dari Sandakan menuju ke Filipina secara haram.

“Semuanya gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan dan bot dinaiki mereka ditunda ke jeti APMM Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2016 @ 5:48am
d