mutakhir

'Tak mahu beban ayah'

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Nilai: Kesempitan hidup dialami seorang penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sehingga memerlukan dia bekerja sambilan tidak menggagalkan usahanya menggenggam Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) pada Majlis Konvokesyen kali ke-14 USIM di sini, semalam.

Nor Athirah Ismail, 25, nekad mencari wang perbelanjaan sendiri sepanjang tempoh pengajiannya kerana tidak mahu membebankan ayahnya yang bekerja sebagai buruh.

“Saya membuat pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), tetapi saya perlu berjimat menggunakan wang itu.

“Ayah menyara enam adik yang masih belajar. Saya tidak mahu menambah beban ayah, sebab itu saya bekerja sambilan sebagai pembantu tadbir di Pusat Komunikasi Strategik (Stracomm) USIM apabila tiada kelas,” katanya.

Nor Athirah yang juga anak sulung berkata, sebelum ini dia mengambil Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa di universiti sama dan berjaya menamatkannya pada November 2014.

“Ketika itu, saya bekerja sambilan di sebuah pasar raya untuk perbelanjaan harian. Duit itu bukan saja cukup untuk membayar yuran pengajian, tetapi membolehkan saya memberi wang kepada ibu dan ayah di kampung,” katanya yang berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan.

Nor Athirah berharap dapat berkhidmat sebagai peguam syarie di negeri kelahirannya, selepas ini.

Disiarkan pada: November 20, 2016 @ 5:32am
d