mutakhir

Cantiknya berhijab

Oleh Nur Izzati Izzah Nadzi

Shah Alam: Sebanyak 100 helai tudung diedarkan secara percuma kepada orang ramai terutama wanita di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini, semalam.

Program Cantiknya Berhijab yang dianjurkan Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH), itu bertujuan mengajak orang ramai terutama wanita memakai tudung dan menutup aurat.

Pengerusi SALIMAH Selangor Nooriyah Mohd Ali berkata, pemberian tudung percuma itu pertama kali dilakukan bagi mengajak orang ramai menutup aurat dengan cara betul dan menjadi Muslimah yang istiqamah untuk menutup aurat kepala.

“Alhamdulillah, melalui program ini kami mengajak wanita yang tidak bertudung memakai tudung di samping mengajar mereka cara pemakaian tudung mengikut syariat Islam.

“Jadi, tudung percuma yang diberikan adalah salah satu cara untuk kita sama-sama menutup aurat tidak hanya remaja wanita yang sudah baligh dan dewasa saja malah kepada anak-anak perempuan kecil.

“Program ini menarik minat bagi wanita yang tidak berhijab untuk menutup kepala mereka,” katanya ditemui di sini semalam.

Nooriyah berkata, tiada paksaan bagi mereka yang menolak untuk dipakaikan tudung tetapi pihaknya berbesar hati jika mereka menerima tudung percuma itu.

SALIMAH yang aktif dengan dakwah jalanan dengan majoritinya dibarisi mualaf akan meneruskan program itu tiga bulan sekali dan lokasi seterusnya adalah di Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Sementara itu, pengunjung Azah Ali, 25, berkata, program itu sangat bermanfaat bagi memberi kesedaran kepada wanita bahawa memakai tudung atau menutup aurat termasuk rambut adalah wajib di sisi agama Islam.

Disiarkan pada: November 21, 2016 @ 8:25am
d