mutakhir

Padang Merbok lokasi paling kotor

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Meskipun sudah diberi amaran namun masih ramai peserta perhimpunan Bersih 5 di ibu negara kelmarin yang membuang sampah di merata tempat.

Antara lokasi yang paling ketara dicemari dengan sampah-sarap adalah di Padang Merbok di sini.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, kawasan itu dikotori dengan sampah-sarap menyebabkan kerja pembersihan terpaksa dilakukan.

“Difahamkan, lokasi ini digunakan oleh kumpulan baju Merah dan mereka bukan saja berkumpul, malah mengotorkan kawasan terbabit.

“Petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terpaksa membersihkan kawasan itu kerana kumpulan berkenaan meninggalkan banyak sampah-sarap.

“Yang mana kita terpaksa bersihkan, kita akan caj mereka tanpa mengira kumpulan mana sekali pun tidak kira Baju Kuning mahu pun Baju Merah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mengulas mengenai kerosakan yang berlaku sepanjang perhimpunan terbabit, Adnan berkata setakat ini tiada kes dilaporkan melainkan hanya masalah sampah dibuang merata-rata saja.

Kata Adnan, perhimpunan Bersih 5 kelmarin menyebabkan ibu kota lengang dan ramai peniaga tidak dapat menjalankan perniagaan masing-masing.

“Selain itu, pelancong asing juga tidak menyenangi keadaan berkenaan dan ia tetap dianggap sebagai perhimpunan haram,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz dalam kenyataannya sebelum ini berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam di bawah seliaan DBKL.

Katanya, penganjur perlu bertanggungjawab atas segala kerosakan dilakukan peserta sepanjang perhimpunan itu termasuk menconteng dan merosakkan landskap.

“Kita mahu menjaga dengan baik persekitaran bandar raya Kuala Lumpur untuk keselesaan rakyat,” katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2016 @ 8:26am
d